Polis Selangor rampas dadah bernilai RM31.53 juta, enam ditahan

10 Sep 2026 • 9:33 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Polis Selangor rampas dadah bernilai RM31.53 juta, enam ditahan

Polis Selangor lumpuhkan enam sindiket dadah, tahan 14 individu dan rampas dadah serta aset bernilai RM31.53 juta menerusi tujuh siri operasi khas.

SHAH ALAM: Polis Selangor menerusi siri operasi khas berjaya melumpuhkan enam sindiket pengedaran dadah berskala besar selepas merampas pelbagai jenis bahan terlarang bernilai RM31.53 juta dalam serbuan berasingan di sekitar negeri ini dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata 14 individu terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita tempatan serta sembilan warga asing berumur antara 20 hingga 39 tahun itu ditahan menerusi tujuh siri operasi di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Segambut, Kajang dan Sepang antara 19 hingga 26 Ogos lepas.

“Dalam masa sama, polis merampas 135.4 kilogram (kg) bunga ganja, 2,325 peket plastik berisi serbuk disyaki dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 117.54 kg, 14 peket plastik berisi pil ekstasi seberat 4.94 kg dan 320 kerajang aluminium berisi pil Erimin 5 seberat 1.019 kg.

“Yang turut dirampas ialah 22 botol dan 118 katrij berisi cecair MDMA seberat 17.6 gram (g), sebungkus plastik berisi serbuk ketamin seberat 444 g serta lima mesin dipercayai alat membungkus dadah dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM31.53 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.

Shazeli berkata pihaknya turut menyita lima kereta pelbagai jenis, iaitu Honda CR-V, Honda City, Nissan Teana, Mazda 6 dan Proton Saga, selain wang tunai berjumlah RM3,879, empat utas rantai berwarna keemasan dan sebuah beg tangan jenama Hermes dengan jumlah keseluruhan mencecah RM172,069.

Beliau berkata rampasan dadah berkenaan dianggarkan mampu menampung 912,876 pengguna pada satu-satu masa berdasarkan anggaran penggunaan 0.3 g bagi setiap individu.

Mengulas lanjut, beliau berkata hasil siasatan mendalam mendapati tiga daripada enam sindiket terbabit menjalankan aktiviti keldai dadah, manakala selebihnya terlibat dalam aktiviti pengedaran bahan terlarang berkenaan sejak enam bulan lepas.

“Berhubung modus operandi keldai dadah warga asing, suspek dipercayai menerima bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 atau dibayar mengikut mata wang negara asal bagi setiap tugasan yang berjaya diselesaikan.

“Tangkapan dan rampasan ini membuktikan kewujudan rangkaian pengedaran bernilai tinggi yang aktif serta terancang yang memberikan ancaman sangat serius kepada keselamatan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Shazeli mengesahkan hasil semakan latar belakang terhadap kesemua suspek yang ditahan mendapati seorang mempunyai dua rekod jenayah lampau, manakala semakan dokumen perjalanan terhadap kesemua suspek warga asing mendapati lima daripada mereka telah tinggal lebih masa.

Beliau berkata 11 suspek telah dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi suspek disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Penglibatan warga asing sebagai keldai dadah turut menjadi keutamaan PDRM untuk memperketat kawalan di semua pintu masuk utama negara seperti lapangan terbang.

“Orang awam serta masyarakat juga diingatkan agar tidak terperdaya menjadi keldai dadah dengan menerima tawaran membawa bagasi atau barangan milik pihak lain tanpa mengetahui isi kandungannya semata-mata disebabkan upah lumayan kerana tindakan tersebut mengundang implikasi undang-undang yang sangat serius,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved