
NEW DELHI – Seorang anggota polis di India nekad berpaut pada bumbung sebuah kereta bergerak sejauh 40 kilometer untuk menahan sekumpulan penyeludup tembakau yang cuba melarikan diri, lapor stesen penyiaran NDTV.
Kejadian berlaku semasa pasukan polis mengadakan sekatan jalan raya di bandar Coimbatore, negeri Tamil Nadu, baru-baru ini.
Rakaman video dimuat naik di platform X oleh akaun @ndtv menunjukkan anggota polis bernama Koperal M. Velmurugan berpaut pada bumbung kereta jenis Hyundai Creta yang bergerak pada kelajuan tinggi.
Polis tempatan berkata, kereta bernombor pendaftaran negeri Karnataka itu enggan berhenti dan memecut laju bagi mengelak daripada diperiksa.
Mengesyaki kereta tersebut membawa barangan seludup, beberapa anggota polis bergegas mengejarnya dengan menaiki motosikal sebelum Velmurugan memanjat bumbung dalam usaha untuk menghentikan kenderaan suspek.
Sekatan jalan raya itu diadakan selepas polis menerima maklumat risikan bahawa 300 kilogram produk tembakau cuba diseludup di dalam sebuah kereta.
“Kami berjaya menahan kenderaan itu berhampiran stesen minyak di sempadan daerah Coimbatore dan merampas 200 kilogram produk tembakau.
“Tiga suspek diberkas dan mereka sedang disoal siasat,” kata polis kepada NDTV. – AGENSI
The post Polis berpaut pada bumbung kereta penyeludup sejauh 40 kilometer appeared first on Kosmo Online.






