KUALA TERENGGANU - Polis mengesan dua wanita termasuk seorang berpurdah yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian seutas gelang emas bernilai kira-kira RM16,000 di sebuah kedai emas di Batu 8, Kampung Batu Enam di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada jurujual kedai emas terbabit jam 10.25 malam pada Khamis.
Menurutnya, kejadian itu disedari pekerja kedai berkenaan ketika membuat pemeriksaan stok sebelum mendapati seutas gelang emas 916 jenis padat kait dua puteri seberat 28.01 gram telah hilang.
"Semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua wanita berkenaan masuk ke dalam kedai sebelum seorang daripadanya meminta pekerja menunjukkan beberapa gelang emas untuk dibuat perbandingan.
"Suspek kemudian memakai salah satu gelang emas berkenaan pada tangannya sebelum menutupnya menggunakan lengan baju," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Azli berkata, suspek turut menjatuhkan gelang berkenaan ke lantai sebelum memijaknya, lalu mengambil semula perhiasan itu dan memasukkannya ke dalam beg tangan.
"Pada masa sama, suspek kedua dipercayai mengalihkan perhatian pekerja dengan menunjukkan ke arah gelang emas lain menyebabkan pekerja terbabit tidak menyedari perbuatan rakannya.
"Kedua-dua suspek kemudian keluar dari kedai dengan alasan mahu mengambil wang untuk membuat pembayaran, namun tidak kembali," katanya.
Beliau menambah, ketika kejadian suspek pertama memakai jubah kelabu, tudung hitam dan berpurdah hitam, manakala suspek kedua memakai jubah biru gelap serta tudung biru bercorak bunga.
"Pekerja kedai boleh mengecam suspek kedua, namun tidak dapat mengecam suspek pertama kerana wajahnya dilindungi purdah.
"Polis kini sedang giat mengesan kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.
Sebelum ini tular rakaman CCTV berdurasi satu minit 21 saat di media sosial memaparkan taktik dua wanita terbabit menyembunyikan gelang emas berkenaan sebelum beredar dari premis.






![[VIDEO] Dua wanita berjubah, berpurdah diburu larikan gelang emas](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-14-at-12.28.58-PM-1024x768.jpeg)