Polis kesan pemandu Axia langgar lari anggota trafik

LocalPolitics
12 Apr 2026 • 5:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis kesan pemandu Axia langgar lari anggota trafik
Tangkap layar rakaman video CCTV di sekitar lokasi kejadian memaparkan sebuah kereta yang melanggar anggota polis trafik yang sedang menjalankan tugas.

KUALA LUMPUR - Polis giat mengesan pemandu kenderaan Perodua Axia yang melanggar lari seorang anggota trafik yang sedang menjalankan tugas di Jalan Sultan Yahya Petra di sini pada Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku pada jam 10.47 malam.

Menurutnya, mangsa iaitu Konstabel Roslan Salleh berusia 27 tahun sedang bertugas di kawasan petak kuning bagi mengawal pergerakan lalu lintas sebelum dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan yang nombor pendaftarannya masih belum dikenal pasti.

"Kenderaan tersebut kemudiannya bertindak melarikan diri tanpa berhenti untuk memberikan bantuan kepada mangsa.

"Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan luka di tapak tangan kanan dan belakang kepala serta sakit di bahagian rusuk," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, anggota terbabit telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dengan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan lanjut.

Tambahnya, usaha mengesan pemandu kenderaan terlibat masih giat dijalankan termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan kawasan sekitar.

"Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Salehuddin Musa di talian 013-3994958, atau Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.