Polis siasat kes lelaki ditumbuk berkaitan tapak niaga

LocalBusiness & Finance
17 Aug 2026 • 3:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis siasat kes lelaki ditumbuk berkaitan tapak niaga
Polis mengesahkan kejadian pergaduhan membabitkan seorang lelaki yang ditumbuk di bahagian kepala, dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan tapak perniagaan. Gambar hiasan

MELAKA - Polis mengesahkan kejadian pergaduhan membabitkan seorang lelaki yang ditumbuk di bahagian kepala, dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan tapak perniagaan di hadapan sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, pihaknya mengesan video kejadian itu yang tular melalui Facebook kira-kira jam 8 pagi Isnin.

"Semakan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 5.20 petang di lokasi berkenaan. Satu laporan polis telah dibuat pada hari sama kira-kira jam 9.17 malam," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham berkaitan tapak perniagaan.

Halim berkata, pengadu yang merupakan seorang wanita berusia 35 tahun bersama suaminya berusia 47 tahun hadir ke lokasi untuk berbincang dengan pihak terlibat, namun perbincangan menjadi tegang sebelum seorang lelaki berusia 46 tahun menumbuk bahagian atas dahi suami pengadu sehingga menyebabkan berasa sakit.

"Turut berada di lokasi ialah seorang wanita berusia 45 tahun dan seorang lelaki berusia 35 tahun. Tiada sebarang kata-kata ugutan dikesan dan kedua-dua pihak kemudian beredar dari lokasi kejadian," katanya.

Halim berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 160 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan provokasi dan mengeruhkan keadaan.

"Sebarang pertikaian hendaklah diselesaikan melalui saluran yang sewajarnya," katanya. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved