
SUBANG JAYA – Polis menjalankan siasatan berhubung penularan video di media sosial yang memaparkan tudung bercorak Jalur Gemilang tidak lengkap yang dijual di sebuah pasar raya di sini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai perkara itu kira-kira pukul 4.49 petang semalam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati hanya sebahagian tudung sahaja yang mempunyai corak Jalur Gemilang tidak lengkap dan ia diterima daripada pihak pembekal.
“Pihak pasar raya berkenaan telah mengambil langkah awal dengan mengeluarkan dan mengasingkan tudung yang dikenal pasti tidak mempunyai corak sepenuhnya daripada kawasan jualan bagi mengelakkan dijual di pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan penularan video berkenaan, polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 kerana penggunaan Jalur Gemilang yang tidak mencukupi sifat.
“Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Wan Azlan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atas kenyataan tersebut yang telah tular di media sosial dan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100.
Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan. – KOSMO! ONLINE
The post Polis siasat tudung corak Jalur Gemilang tidak lengkap appeared first on Kosmo Digital.






