Polis Terengganu siap siaga hadapi banjir sepanjang musim tengkujuh

23 Nov 2026 • 6:44 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Polis Terengganu siap siaga hadapi banjir sepanjang musim tengkujuh

KUALA TERENGGANU: Seramai 1,134 anggota termasuk pegawai polis kontinjen Terengganu dikerah untuk bersiap siaga menghadapi ancaman bencana sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula bulan ini sehingga Mac tahun depan.

Selain itu, sebanyak 278 aset terdiri daripada pelbagai jenis kenderaan termasuk bot juga akan digerakkan bagi membantu membuat kawalan keselamatan sepanjang tempoh tersebut.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, persiapan awal dilaksanakan bagi memastikan kesiapsiagaan serta kerjasama strategik dengan agensi berkaitan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir.

“Sebanyak 460 lokasi hotspot banjir dikenal pasti di seluruh Terengganu dan akan diberi perhatian serta dipantau secara berterusan sepanjang musim tengkujuh.

“Langkah itu penting bagi memastikan tindakan pemantauan, penyelarasan dan bantuan dapat dilaksanakan dengan segera khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Jelasnya, kesiapsiagaan berkenaan turut diperkukuh menerusi kerjasama dengan agensi lain yang terlibat dalam pengurusan bencana, khususnya bagi aspek pemantauan, penyelarasan operasi dan misi menyelamat mangsa banjir.

Antara agensi terlibat ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Katanya, seramai 1,625 anggota daripada agensi berkenaan turut disenaraikan sebagai kekuatan sokongan dengan keseluruhan 178 aset bagi membantu operasi sepanjang tempoh MTL.

Dalam pada itu, orang ramai khususnya penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir dinasihatkan supaya meningkatkan tahap kewaspadaan dan mengambil langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya mengelakkan kawasan berisiko seperti kawasan pegunungan, bukit, gua, air terjun, sungai, hutan serta kawasan pantai, laut dan pulau sepanjang musim tengkujuh. – UTUSAN

The post Polis Terengganu siap siaga hadapi banjir sepanjang musim tengkujuh appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved