
PETALING JAYA: Prestasi Malakoff Corp Bhd (Malakoff) dijangka bertambah baik pada separuh kedua tahun ini selepas kegagalan peralatan dan kadar cukai lebih tinggi daripada biasa menjejaskan prestasi syarikat pada separuh pertama tahun ini.
RHB Research berkata, keuntungan Malakoff bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 berakhir 30 Jun lalu berada di bawah jangkaan, hanya mencapai 30 peratus daripada anggaran setahun penuh.
“Bagaimanapun, prestasi itu menepati unjuran konsensus pada 46 peratus daripada anggaran setahun penuh.
“Prestasi keuntungan yang lebih lemah berpunca daripada kegagalan rotor penjana turbin stim di loji janakuasa arang batu berkapasiti 2,100 megawatt (MW) di Johor yang dimiliki Tanjung Bin Power (TBP).
“Kejadian itu menyebabkan hasil kumpulan susut 19 peratus tahun ke tahun,” katanya dalam nota penyelidikan.
Malakoff mencatatkan keuntungan RM32 juta pada suku kedua 2026, tidak berubah berbanding suku sebelumnya.
RHB Research berkata, hasil bagaimanapun meningkat 39 peratus dari suku ke suku, terutama disebabkan peningkatan margin bahan api yang direkodkan di Tanjung Bin Energy (TBE) dan TBP.
“Sementara itu, Malakoff mencatatkan kadar cukai efektif (ETR) tinggi sebanyak 51 peratus pada suku kedua, menyebabkan purata ETR bagi separuh pertama tahun ini meningkat kepada 40 peratus berbanding 21 peratus dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
“Kadar cukai lebih tinggi itu disebabkan perbelanjaan yang tidak boleh ditolak daripada cukai,” katanya.
RHB Research menjangkakan prestasi Malakoff bertambah baik pada separuh kedua tahun ini, dengan keuntungan TBP dijangka meningkat selepas rotor berkenaan kembali beroperasi bulan ini.
“Secara berasingan, tali sawat penghantar di jeti Tanjung Bin kembali beroperasi pada Jun selepas semua sisa di lokasi berkenaan dibersihkan sepenuhnya.
“Kami tidak mengubah unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 sementara menunggu panduan lanjut daripada pihak pengurusan dalam taklimat penganalisis syarikat pada 18 Ogos,” katanya.
RHB Research mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham Malakoff dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.06.
Dalam nota berasingan, CIMB Securities menurunkan unjuran keuntungan bersih teras (CNP) Malakoff bagi tahun kewangan 2027 sebanyak 16 peratus, manakala unjuran bagi 2027 dan 2028 masing-masing dikurangkan satu peratus.
“Risiko peningkatan berpotensi pula datang daripada projek loji tenaga solar berskala besar yang baharu.
“Kami menjangkakan CNP pulih sepenuhnya sebanyak 97 peratus tahun ke tahun pada tahun kewangan 2026 sebelum susut 10 peratus tahun ke tahun pada tahun kewangan 2028.
“Ini berikutan margin pendapatan tenaga yang lebih rendah dan tamatnya konsesi AlHidd pada Mei 2028 yang sebahagiannya diimbangi oleh permulaan perjanjian pembelian tenaga bagi projek solar baharu,” katanya.
Susulan pengurangan unjuran keuntungan itu, CIMB Securities menurunkan harga sasaran Malakoff sebanyak lapan peratus kepada 92 sen, sambil mengekalkan penarafan ‘pegang’. –UTUSAN
The post Prestasi Malakoff dijangka bertambah baik separuh kedua appeared first on Utusan Malaysia.






