liza09/09/2026 - 10:25 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Sept – Permintaan terhadap peralatan pembuatan wafer (WFE) dan peralatan ujian automatik (ATE) yang semakin meningkat dijangka terus mengukuhkan momentum sektor teknologi Malaysia pada separuh kedua 2026 (2H26), kata RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, permintaan itu mendapat manfaat daripada peningkatan perbelanjaan modal (capex) berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan pembinaan pusat data yang turut menyokong peningkatan penggunaan kapasiti pemain dalam rantaian semikonduktor.
“Peningkatan permintaan terhadap peralatan pembuatan dan ujian cip turut didorong oleh proses reka bentuk serta pembuatan semikonduktor yang semakin kompleks yang memerlukan penggunaan lebih banyak peralatan dan perkhidmatan sokongan.
“Pemain dalam segmen pembungkusan dan ujian semikonduktor (OSAT) juga terus mencatat peningkatan keuntungan berikutan penggunaan kapasiti yang lebih tinggi serta perbelanjaan modal berkaitan AI dan pusat data.
“Pada masa sama, pertumbuhan dalam cip pengurusan kuasa dan cip automotif turut memberi sokongan kepada permintaan sektor teknologi,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Tempahan dan penggunaan kapasiti semakin meningkat
RHB Research berkata, aliran tempahan dalam rantaian bekalan teknologi kekal kukuh, manakala beberapa subsektor mencatat rekod tempahan dan hasil.
Bagi pemain ATE, rekod nisbah tempahan kepada jualan (book-to-bill) serta tempahan menunjukkan permintaan yang kukuh susulan peningkatan keperluan terhadap cip yang semakin kompleks.
Pemain perkhidmatan kejuruteraan pula mendapat manfaat daripada pemindahan projek, penambahan kapasiti baharu dalam kalangan pemain WFE dan ATE serta perbelanjaan modal AI yang tinggi.
Bagi syarikat perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), keterlihatan tempahan bertambah baik dengan permintaan bermusim pada 2H26 dijangka meningkatkan penggunaan kapasiti dan membantu pemulihan margin.
RHB Research menjangka projek baharu yang dipindahkan serta pengeluaran besar-besaran akan memberi sumbangan lebih ketara kepada prestasi syarikat EMS menjelang FY27.
Keuntungan mula menunjukkan pemulihan
Dari segi keputusan kewangan, RHB berkata prestasi 2Q26 secara keseluruhannya menggalakkan apabila lapan daripada 12 syarikat di bawah liputannya mencatat keuntungan selari dengan jangkaan.
“Inari Amertron dan Cnergenz menjadi antara syarikat yang mencatat prestasi lebih baik daripada jangkaan, didorong hasil dan margin yang lebih kukuh.
“Sebaliknya, dua pemain EMS gagal mencapai ramalan berikutan hasil dan margin lebih rendah daripada jangkaan, dipengaruhi campuran produk yang kurang menguntungkan, turun naik kadar pertukaran asing (FX) dan kos input lebih tinggi.
“Secara agregat, keuntungan teras sektor merosot 25.8% tahun ke tahun (YoY) pada 2Q26, tetapi meningkat 206% berbanding suku sebelumnya (QoQ) apabila prestasi keuntungan mula mencerminkan peningkatan penggunaan kapasiti,” kata firma tersebut.
Tidak termasuk pemain EMS yang mencatat prestasi lemah, keuntungan teras sektor meningkat 21.7% YoY, menunjukkan pemulihan yang lebih meluas serta peningkatan kitaran industri semikonduktor.
RHB Research menjangkakan momentum sektor teknologi kekal kukuh pada 2H26, disokong tempahan yang sihat, penggunaan kapasiti tinggi, pelaksanaan projek dan peningkatan pengebilan.
Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan Overweight terhadap sektor teknologi, dengan sektor kini diniagakan pada kira-kira 25 kali nisbah harga kepada keuntungan hadapan (forward P/E), sejajar dengan purata lima tahunnya.
Namun, RHB Research mengurangkan unjuran keuntungan agregat sektor bagi FY26 sebanyak 2.8%, terutama susulan semakan lebih rendah terhadap SKP Resources dan VS Industry.
Tidak termasuk pemain EMS, unjuran keuntungan agregat sektor bagi FY26 dan FY27 masing-masing dinaikkan 2.5% dan 5.1%, menunjukkan prospek pemulihan keuntungan yang lebih kukuh bagi syarikat teknologi lain.
Antara risiko utama yang boleh menjejaskan momentum sektor ialah harga cip memori yang tinggi, kekurangan komponen, turun naik FX, kelembapan perbelanjaan modal berkaitan AI, teknologi yang menjadi lapuk serta ketegangan geopolitik.
Secara keseluruhan, RHB menjangka peningkatan permintaan berkaitan AI dan pusat data, penggunaan kapasiti yang lebih tinggi serta aliran tempahan yang kukuh terus menyokong pemulihan keuntungan sektor teknologi Malaysia pada 2H26 dan menuju FY27. - DagangNews.com






