amree09/09/2026 - 11:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Sept — Paramount Corporation Berhad berdepan cabaran mengejar sasaran jualan hartanah RM1.2 bilion bagi FY26 selepas jualan lemah pada separuh pertama tahun kewangan 2026.
Menurut analisis TA Research, kumpulan tersebut mencatatkan penyusutan 21% tahun ke tahun (YoY) kepada RM413 juta, dengan pencapaian itu hanya mewakili 34% daripada sasaran yang ditetapkan.
Firma itu berkata, tekanan tersebut menjadikan pelancaran projek baharu pada separuh kedua FY26 amat penting melibatkan nilai keseluruhan RM1.6 bilion berbanding hanya RM152 juta pada 1HFY26.
"Pengurusan Paramount mengambil pendekatan lebih berhati-hati berikutan ketidaktentuan geopolitik dan memilih menilai permintaan pasaran sebelum melancarkan produk terkini," jelasnya dalam nota.
Bagaimanapun, TA Research menambah, permintaan pasaran tidak semestinya lemah, sebaliknya pembeli dilihat lebih selektif, dengan produk hartanah segmen mewah masih mendapat sokongan pembeli asing.
Sementara itu, permintaan daripada pembeli Bumiputera, kakitangan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta segmen komersial dan perindustrian terpilih pula adalah kekal lagi bertahan.
Sebaliknya, permintaan pembeli yang mahu menaik taraf kediaman serta pembelian untuk pelaburan semakin sederhana apabila pengguna berhati-hati terhadap kemampuan kewangan dan prospek pekerjaan.

"Keadaan ini menyebabkan kejayaan pelancaran dan kadar pengambilan projek pada 2H26 menjadi faktor utama dalam menentukan sama ada Paramount mampu mengejar sasaran jualannya," kata TA Research.
Dari segi prestasi kewangan, keuntungan bersih kumpulan itu meningkat 20% kepada RM43.4 juta bagi 1HFY26 walaupun hasil susut 4% kepada RM429.2 juta dengan degmen hartanah kekal penyumbang utama.
Ia merangkumi 94% hasil dan menjana keuntungan sebelum cukai (PBT) RM69.8 juta, meningkat 5% YoY, manakala margin hartanah turut bertambah baik kepada 17.3% berbanding 15.6% setahun sebelumnya.
Ujar TA Research, prestasi Paramount disokong campuran produk lebih baik dan jualan lot industri, tetapi hasil hartanah susut 5% berikutan penyiapan beberapa projek yang masih di peringkat awal.
"Dalam jangka panjang, strategi pulangan atas ekuiti (ROE) melebihi 10% menjelang 2030 yang kekal berteraskan pertumbuhan hartanah teras, pendapatan berulang dan pengoptimuman asset," jelasnya.
Pada akhir Jun 2026, syarikat memiliki baki nilai pembangunan kasar (GDV) RM7 bilion serta tambahan RM1.9 bilion daripada projek dimeterai dan mempertimbangkan penambahan tanah bernilai RM2 bilion.
Justeru, TA Research mengekalkan unjuran pendapatan Paramount bagi FY226 hingga FY28 serta harga sasaran (TP) RM1.25 sesaham berdasarkan 0.5 kali nisbah harga kepada nilai buku (P/B) CY2027.
Saham kumpulan ini kekal dinilai menarik di samping menawarkan hasil dividen melebihi 7%, dengan firma penyelidikan itu terus mengekalkan saranan 'beli'. - DagangNews.com





