
PRN Negeri Sembilan: Polis Lulus 473 Permohonan Ceramah Politik, 14 Kertas Siasatan Dibuka
Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Sembilan meluluskan 473 daripada 499 permohonan penganjuran ceramah dan aktiviti kempen politik sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bagi tempoh 18 Julai hingga semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, semua program yang diluluskan itu dipantau pihak polis bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
Katanya dalam satu kenyataan hari ini, PDRM turut menerima 33 laporan polis dan membuka 14 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh berkenaan.
“Semalam, polis menerima lima laporan polis daripada orang awam, namun hasil siasatan lanjut tiada kertas siasatan dibuka berkaitan kesalahan pilihan raya,” katanya.
Menurut Alzafny, setakat ini situasi keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses PRN Negeri Sembilan berada dalam keadaan baik serta terkawal.
Baca juga:Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar terus mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi memastikan proses pilihan raya berlangsung dengan lancar.
“Orang ramai diseru supaya terus mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM di lapangan bagi memastikan PRN Negeri Sembilan berlangsung dalam suasana yang aman, harmoni dan teratur,” ujarnya.
Terdahulu, pengundian awal PRN Negeri Sembilan dijadualkan berlangsung esok, manakala hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos.






