sarah20/11/2026 - 16:59 Gambaran ilustrasi projek solar CRESS di Kedah Rubber City (KRC), ihsan NCIA. Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov - Projek solar pertama Malaysia di bawah Skim Pembekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS) bernilai RM500 juta mula dibina di Kedah Rubber City (KRC), sekali gus menandakan perkembangan penting dalam pelaksanaan Zon Khas Tenaga Boleh Diperbaharui@NCER (SREEZ@NCER).
Projek yang dibangunkan HLGY Energy Sdn Bhd itu melibatkan pembinaan loji solar berkapasiti 120.06 megawatt arus ulang-alik (MWac), dilengkapi sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) berkapasiti 240.12 megawatt-jam (MWh).
Menurut Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), pembangunan berkenaan bertujuan memperluas akses kepada tenaga boleh diperbaharui bagi menyokong pertumbuhan industri dan menarik pelaburan baharu ke Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), khususnya daripada syarikat yang mengutamakan pengurangan pelepasan karbon serta pematuhan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata, permulaan pembinaan projek itu membuktikan bahawa SREEZ@NCER kini memasuki fasa pelaksanaan sebenar selepas diperkenalkan sebagai inisiatif strategik bagi memperkukuh ekosistem tenaga boleh diperbaharui di wilayah utara.
"Projek ini membuktikan bahawa SREEZ@NCER bukan lagi sekadar visi strategik, sebaliknya kini diterjemahkan kepada pelaburan dan pembangunan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui yang nyata.
"Permulaan pembinaan ini menunjukkan bagaimana agenda peralihan tenaga negara dapat direalisasikan melalui kerjasama strategik yang memacu pertumbuhan ekonomi, di samping menyokong pembangunan mampan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Perluas pembangunan tenaga bersih ke Perlis dan Kedah
Mohamad Haris berkata, menerusi SREEZ@NCER, NCIA sedang membangunkan asas ekosistem tenaga boleh diperbaharui yang mampu meningkatkan daya saing NCER sebagai destinasi pelaburan masa depan, khususnya bagi industri yang memerlukan bekalan tenaga bersih dan berterusan.
"Inisiatif ini akan membantu menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi yang sejajar dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), selain menyokong pembangunan ekonomi yang lebih berdaya tahan, mampan dan berdaya saing," katanya.
Beliau berkata, SREEZ@NCER dijangka diperluas ke kawasan pembangunan strategik lain, termasuk Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) di Perlis dan Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP), bagi mewujudkan rangkaian pembangunan industri hijau yang lebih bersepadu di wilayah utara.
Tarik pelaburan semikonduktor dan industri teknologi tinggi
NCIA berkata, peluasan ekosistem tenaga boleh diperbaharui itu dijangka meningkatkan keupayaan NCER menarik pelaburan bernilai tinggi dalam sektor pembuatan termaju, semikonduktor, industri teknologi tinggi dan sektor berorientasikan eksport yang memerlukan bekalan tenaga bersih serta boleh dipercayai.
Inisiatif SREEZ@NCER juga selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026–2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi rendah karbon, selain memperkukuh kedudukan wilayah itu sebagai pusat pertumbuhan industri dan pelaburan berasaskan tenaga boleh diperbaharui.
NCIA yang ditubuhkan di bawah Akta Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara 2008 (Akta 687) bertanggungjawab merancang dan mempercepatkan pembangunan NCER yang merangkumi Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis, dengan tumpuan kepada sektor pembuatan bernilai tinggi, pertanian moden serta perkhidmatan termaju.- DagangNews.com






