Proses sempadan semula Parlimen, DUN bukan automatik selepas lapan tahun

LocalPolitics
21 Aug 2026 • 6:49 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Proses sempadan semula Parlimen, DUN bukan automatik selepas lapan tahun

PETALING JAYA: Proses persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak berlaku secara automatik selepas tamat tempoh lapan tahun daripada Kajian Semula Persempadanan sebelum ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, sebaliknya pelaksanaan proses persempadanan masih tertakluk kepada pertimbangan SPR dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk pertumbuhan penduduk dan perubahan demografi.

Katanya, antara perkara yang perlu dipertimbangkan ialah kesiapsiagaan teknikal, aspek perundangan, implikasi logistik serta keperluan pengurusan pilihan raya secara menyeluruh.

“SPR juga sentiasa memantau dan meneliti taburan pemilih, pertumbuhan populasi, perubahan perbandaran serta demografi bagi memastikan sistem representasi pilihan raya kekal relevan dan berkesan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, media melaporkan, SPR dalam proses penelitian untuk memulakan urusan Kajian Semula Persempadanan bahagian pilihan raya di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kajian semula itu hanya boleh dilaksanakan selepas tamat tempoh lapan tahun atau sekiranya berlaku pindaan undang-undang melibatkan komposisi keanggotaan Dewan Rakyat atau DUN.

Tempoh Kajian Semula Persempadanan bagi negeri-negeri Tanah Melayu telah berakhir pada Mac 2026 manakala Sabah dan Sarawak masing-masing pada Februari 2025 dan Ogos 2023.

Mengulas lanjut, Khairul Shahril berkata, proses persempadanan kawasan pilihan raya perlu melalui beberapa fasa termasuk kajian dan semakan awal, penyediaan syor, pameran awam serta proses representasi dan bantahan sebelum kelulusan Parlimen jika ia diputuskan untuk dilaksanakan.

Namun katanya, SPR masih belum membuat sebarang ketetapan untuk menambah jumlah kerusi Parlimen atau DUN termasuk Sabah dan negeri-negeri di Semenanjung.

“Hal ini kerana penambahan jumlah kerusi Dewan Rakyat merupakan isu dasar dan perundangan yang melibatkan pertimbangan beberapa pihak termasuk kerajaan dan Parlimen serta tidak boleh diputuskan oleh SPR secara sepihak,” katanya.

Katanya, pertumbuhan penduduk, perubahan demografi, pendaftaran pemilih secara automatik dan pelaksanaan Undi18 telah menyumbang kepada peningkatan jumlah pemilih khususnya di kawasan yang mempunyai kadar kepadatan tinggi.

“Bagaimanapun, jumlah pemilih semata-mata tidak boleh dijadikan asas untuk menentukan sama ada jumlah kerusi Parlimen atau DUN perlu ditambah.

“Antara perkara lain yang perlu dipertimbangkan adalah keluasan kawasan, kesukaran capaian, kemudahan pentadbiran, hubungan komuniti setempat, keadaan geografi serta keperluan pemberatan luar bandar,” katanya.

Khairul berkata, sekiranya Kajian Semula Persempadanan diputuskan untuk dilaksanakan, proses itu akan melalui beberapa fasa termasuk kajian dan semakan awal, penyediaan syor, pameran awam serta proses representasi dan bantahan sebelum kelulusan Parlimen.

Berhubung Kajian Semula Persempadanan di Sarawak, beliau berkata, SPR kini dalam peringkat akhir untuk memulakan proses tersebut dan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.-UTUSAN

The post Proses sempadan semula Parlimen, DUN bukan automatik selepas lapan tahun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved