GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang menafikan dakwaan bahawa projek tambakan Pulau Silikon menjejaskan hasil tangkapan nelayan di kawasan Teluk Kumbar dan Batu Maung, sebaliknya data pendaratan ikan menunjukkan trend yang stabil dan meningkat.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Datuk Rashidi Zinol berkata, jumlah pendaratan ikan yang diisytiharkan nelayan di kedua-dua kawasan itu mencatatkan 472.44 tan pada 2023 dan meningkat kepada 496.57 tan pada 2025.
Menurutnya, perbandingan data tersebut jelas menunjukkan tiada pengurangan ketara hasil tangkapan yang boleh dikaitkan dengan pembangunan projek Pulau Silikon.
“Setakat maklum balas yang diperoleh melalui tinjauan lapangan dan sesi libat urus mendapati nelayan di kawasan projek tidak mengalami keadaan tiada tangkapan hasil laut akibat kerja-kerja tambakan,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Rabu.
Rashidi (UMNO-Sungai Acheh) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohamad Shukor Zakariah (Pas-Pulau Betong) berhubung nasib nelayan di Pulau Pinang yang semakin terhimpit akibat pembangunan dan kos operasi meningkat.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendapatan nelayan bersifat dinamik dan dipengaruhi pelbagai faktor luar termasuk cuaca, musim serta harga pasaran.
"Kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan komuniti nelayan dalam mendepani arus pembangunan dan perubahan landskap ekonomi global.
"Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) turut melaksanakan pelan intervensi komprehensif bagi memastikan golongan nelayan tidak terpinggir daripada arus pembangunan perdana menerusi pelaksanaan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN).
“ESHN berfungsi sebagai pelan sandaran yang menjamin kelangsungan keperluan asas golongan nelayan terutama ketika musim tengkujuh dan tekanan inflasi,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan memaklumkan kos operasi penangkapan ikan merupakan antara cabaran terbesar yang dihadapi nelayan sehingga mampu menjejaskan produktiviti mereka.
Sehubungan itu, katanya, Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan yang diperkenalkan sejak 2006 terus menjadi pemangkin utama dalam mengurangkan beban kos operasi nelayan serta memastikan aktiviti penangkapan ikan dapat diteruskan.
“Tanpa subsidi ini, kos operasi akan meningkat sekali gus memberi kesan kepada harga ikan di pasaran dan mengancam keterjaminan makanan negara.
"Tiada pampasan diberikan kerana tiada nelayan atau individu yang perlu dipindahkan sepanjang pelaksanaan projek tambakan Pulau Silikon malah nelayan juga tidak dihalang untuk turun ke laut sepanjang projek tersebut dijalankan," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, bagi memastikan komuniti nelayan terus berdaya saing, moden dan mandiri, pelbagai inisiatif dilaksanakan menerusi Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM).
"Di bawah SIMP, seramai 795 nelayan berdaftar dan layak telah menerima bayaran ex-gratia berjumlah RM11.85 juta setakat ini.
"Kerajaan negeri turut melaksanakan program pemerkasaan kapasiti nelayan menerusi pemberian bot lebih besar dan enjin berkuasa tinggi bagi membolehkan mereka meneroka kawasan tangkapan lebih luas dan selamat," katanya lagi.






