Ramai pesakit gout sangat berhati-hati dengan seafood.
Udang tak makan.
Kerang tak makan.
Organ dalaman pun cuba elak.
Tapi setiap hari masih minum teh ais, kopi manis, air berkarbonat atau jus dalam botol.
Di sinilah ramai terlepas pandang.
Fruktosa ialah sejenis gula ringkas yang boleh ditemui secara semula jadi dalam buah-buahan, tetapi juga banyak hadir melalui gula tambahan, sirap dan minuman manis.
Apabila fruktosa dimetabolismekan di dalam hati, proses ini boleh meningkatkan penghasilan asid urik.
Bila paras asid urik terlalu tinggi, kristal urat lebih mudah terbentuk dan mendap pada sendi.
Hasilnya?
Sendi boleh tiba-tiba menjadi sangat sakit, merah, panas dan bengkak — serangan gout.
Sebab itu gout bukan sekadar cerita tentang makanan tinggi purin.
Minuman manis juga perlu diberi perhatian.
Antara sumber yang biasa:
• Minuman ringan berkarbonat
• Teh atau kopi bergula
• Minuman sirap dan kordial
• Minuman tenaga
• Makanan dan pencuci mulut tinggi gula
• Jus buah, walaupun tiada gula tambahan
Tetapi jangan pula sampai takut hendak makan buah.
Buah segar tidak sama dengan segelas air manis.
Buah datang bersama serat, air, vitamin dan nutrien lain. Lebih baik makan buah secara utuh berbanding menjadikannya jus.
Jika anda mempunyai gout, cuba mulakan dengan perkara yang paling praktikal:
Kurangkan minuman bergula.
Jadikan air kosong sebagai minuman utama.
Pilih buah utuh berbanding jus.
Kurangkan alkohol.
Kawal berat badan.
Dan jika doktor sudah memberikan ubat untuk menurunkan asid urik, ambillah mengikut arahan.
Diet membantu mengawal gout.
Tetapi bagi sesetengah pesakit, diet sahaja mungkin tidak mencukupi untuk mencapai paras asid urik yang disasarkan.
Jadi selepas ini, bila bercakap tentang gout, jangan hanya tengok apa yang ada dalam pinggan.
Tengok juga apa yang ada dalam gelas.
Kadang-kadang pencetus yang paling kerap diminum itulah yang paling mudah kita terlepas pandang.
PHM
Public Health Malaysia
Public Health M'sia (publichealthmalaysia@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.






