
Status penganjuran Pusingan Keenam PETRONAS Sprinta MAM Malaysian Cub Prix Championship di LYL International Circuit masih belum mendapat kepastian, dengan kemungkinan perlumbaan tersebut ditunda menjadi antara perkara yang sedang dipertimbangkan.
Umum mengetahui, Pusingan Keenam Cub Prix sebelum ini dijadualkan berlangsung di LYL International Circuit, susulan pertindihan tarikh dengan penganjuran perlumbaan global Formula 1 di Sepang pada tahun ini.
Bagaimanapun, perkembangan terkini menyaksikan status perlumbaan di LYL masih menjadi tanda tanya.
Ketika ditemui Two Wheels Media, Director penganjur Malaysian Cub Prix, Ron Hogg, mengesahkan bahawa perkara berkenaan sememangnya sedang diberi perhatian oleh pihak penganjur.
Menurut beliau, antara faktor utama yang menjadi pertimbangan adalah keperluan tenaga kerja, khususnya Marshall yang turut diperlukan untuk bertugas pada acara Formula 1 yang lebih besar pada tarikh berkenaan.
“Antara perkara utama ialah Marshall. Ramai daripada mereka perlu bertugas untuk acara yang lebih besar itu,” jelas Ron.
Selain faktor tenaga kerja, jumlah kehadiran penonton juga dijangka terjejas sekiranya Cub Prix berlangsung pada tarikh yang sama dengan Formula 1.
Situasi ini secara tidak langsung menimbulkan persoalan sama ada Pusingan Keenam di LYL akan diteruskan mengikut jadual asal atau perlu ditunda ke tarikh lain.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengumuman rasmi mengenai penundaan tersebut dan segala kemungkinan masih terbuka.
Sekiranya perubahan jadual berlaku, ia pastinya akan memberi kesan kepada pasukan, pelumba serta keseluruhan kalendar PETRONAS Sprinta MAM Malaysian Cub Prix Championship 2026.
Two Wheels Media difahamkan bahawa pihak penganjur masih meneliti beberapa perkara sebelum keputusan muktamad dibuat.
Buat masa ini, peminat Cub Prix masih perlu menunggu pengumuman rasmi berhubung nasib Pusingan Keenam di LYL International Circuit.
The post Pusingan Keenam CubPrix di LYL Masih Jadi Tanda Tanya, Kemungkinan Ditunda appeared first on TW Media.





