Qayyim Razin Lengkapkan Kemenangan Berganda, Qabil Irfan Hadiahkan ‘Double Podium’ Buat Malaysia Di Sepang

3 Aug 2026 • 11:34 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

Image from: Qayyim Razin Lengkapkan Kemenangan Berganda, Qabil Irfan Hadiahkan ‘Double Podium’ Buat Malaysia Di Sepang

Pelumba muda negara, Qayyim Razin Razali, muncul wira Malaysia apabila melengkapkan kemenangan berganda pada Pusingan Kedua Idemitsu Moto4 Asia Cup 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sekali gus menghadiahkan hujung minggu paling cemerlang buat kem negara. Lebih membanggakan, Malaysia turut meraikan ‘double podium’ menerusi Qabil Irfan Azlan yang menamatkan kedua-dua perlumbaan di kedudukan ketiga.

Kejayaan Qayyim bermula dalam Perlumbaan 1 pada Sabtu apabila pelumba berusia 14 tahun itu meraih kemenangan sulungnya dalam Moto4 Asia Cup selepas menewaskan pelumba Jepun, Kotaro Togashi, menerusi penamat dramatik yang ditentukan menggunakan photo finish dengan kelebihan hanya 0.001 saat.

Qabil yang memulakan perlumbaan dari petak pertama turut mempamerkan aksi cemerlang apabila mendahului sebahagian besar perlumbaan. Namun, pelumba muda negara itu terlepas peluang bergelar juara selepas dipintas pada saat akhir dan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, hanya 0.003 saat di belakang pemenang.

Seorang lagi wakil Malaysia, Muhammad Naqib Rifqi, tidak bernasib baik apabila terpaksa menamatkan Perlumbaan 1 lebih awal akibat masalah jentera.

Momentum cemerlang Qayyim diteruskan dalam Perlumbaan 2 apabila sekali lagi muncul juara selepas menamatkan perlumbaan 11 pusingan dengan catatan masa 25 minit 22.046 saat. Kali ini, beliau menewaskan seorang lagi pelumba Jepun, Waku Kunitate, dengan kelebihan hanya 0.009 saat, sekali lagi menerusi penamat photo finish yang mendebarkan.

Perlumbaan berlangsung penuh dramatik apabila kelompok pendahulu yang terdiri daripada Qayyim, Waku Kunitate, Qabil dan Haruki Matsuyama saling bertukar kedudukan hampir sepanjang perlumbaan. Qayyim bagaimanapun kekal tenang pada pusingan terakhir sebelum melakukan pecutan terbaik di laluan lurus terakhir untuk mempertahankan kelebihan tipis sehingga ke garisan penamat.

Lebih manis, Qabil sekali lagi menaiki podium selepas menamatkan Perlumbaan 2 di tempat ketiga dengan catatan masa 25 minit 22.152 saat, hanya 0.106 saat di belakang Qayyim, sekali gus memastikan Jalur Gemilang berkibar dua kali di podium Sepang.

Naqib sekali lagi diuji nasib apabila gagal menamatkan Perlumbaan 2 selepas terjatuh ketika perlumbaan sedang berlangsung.

Kemenangan berganda itu melengkapkan hujung minggu terbaik buat Qayyim apabila menyapu bersih kedua-dua perlumbaan di laman sendiri dan mengutip 50 mata maksimum pada pusingan Malaysia.

Keputusan di Sepang turut mengubah kedudukan keseluruhan kejuaraan apabila Qabil Irfan Azlan kini berada di tangga ketiga dengan 62 mata, manakala Qayyim Razin Razali melonjak ke tangga keempat selepas mengumpul 50 mata.

Pendahulu keseluruhan masih milik pelumba Jepun, Hayato Chishiki, dengan 70 mata, diikuti rakan senegaranya Waku Kunitate yang mengumpul 64 mata. Keputusan di Sepang menyaksikan saingan kejuaraan Moto4 Asia Cup semakin sengit menjelang pusingan seterusnya di Mobility Resort Motegi, Jepun.

The post Qayyim Razin Lengkapkan Kemenangan Berganda, Qabil Irfan Hadiahkan ‘Double Podium’ Buat Malaysia Di Sepang appeared first on TW Media.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved