
KAJANG: Pengorbanan menahan sakit dan menangguhkan pembedahan membuahkan hasil buat atlet angkat berat Perak, Qistina Qharisya Suffia Mohd Muzani apabila meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, semalam.
Atlet berusia 21 tahun itu membuktikan pengorbanannya berbaloi apabila muncul juara kategori 48 kilogram (kg) wanita dengan angkatan keseluruhan 154kg diikuti 72kg dalam snatch dan 82kg dalam clean & jerk.
Pingat perak menjadi milik atlet Terengganu, Nur Arissya Nadia Mohamadnor Wardi dengan jumlah 144kg, manakala Nur Dania Nasyiha Abdullah dari Pahang meraih gangsa selepas mengumpul 130kg.
Lebih istimewa, kejayaan itu hadir ketika Qistina masih bergelut dengan kecederaan pergelangan tangan akibat kemalangan motosikal pada September tahun lalu.
Keretakan tulang scaphoid dan ligamen menyebabkan doktor mengesyorkan dia menjalani pembedahan, namun Qistina memilih menangguhkannya demi merealisasikan impian pada Sukma terakhirnya.
“Sepatutnya saya menjalani pembedahan, tetapi saya tetap berlatih walaupun sakit. Saya fikir, takkan saya mahu angkat bar kosong saja ketika berada di atas pentas. Saya tetap teruskan latihan sebab saya mahu capai sasaran pada SUKMA terakhir ini,” katanya.
Qistina berkata, pada awalnya dia menyimpan hasrat untuk memecahkan rekod kebangsaan milik Irane Jane Henry, namun keadaan fizikal yang masih belum pulih sepenuhnya memaksanya lebih berhati-hati ketika beraksi.
Kejayaan itu turut menyambung momentum Qistina selepas dia meraih emas kategori 45kg wanita pada SUKMA Sarawak 2024.
Pada edisi berkenaan, dia mencatat tiga rekod kebangsaan menerusi angkatan 65kg dalam snatch, 79kg clean & jerk dan 144kg keseluruhan.
Selepas melalui segala dugaan kecederaan, emas di Selangor pastinya menjadi penutup manis buat Qistina dalam penampilan terakhirnya di pentas SUKMA.-UTUSAN
The post Qistina sanggup tahan sakit demi emas appeared first on Utusan Malaysia.






