Qualcomm dijangka akan memperkenalkan cip pemprosesan kelas mercu mereka, Qualcomm Snapdragon 8 Elite 2 sewaktu acara Snapdragon Summit sekitar bulan September ini, tetapi terkini, beberapa butiran mengenai cip tersebut telah tertiris ke arena web.
Tirisan ini hadir melalui saluran Digital Chat Station di Weibo, yang sering berkongsi butiran komponen-komponen peranti yang belum dilancarkan secara tepat. Saluran tersebut pada awalnya mengatakan bahawa skor penanda-aras untuk cip pemprosesan ini akan hadir dengan skor melangkaui 4000 mata untuk penanda-aras satu teras, dan 11,000 untuk skor multi-teras.
Terkini, mereka mengatakan bahawa teras utama (prime core) cip pemprosesan Snapdragon 8 Elite 2 boleh mencapai kelajuan melangkaui 5GHz apabila dilewahjam, yang dilihat lebih tinggi berbanding dengan model sebelumnya.

Walaupun begitu, kelajuan ini dicapai untuk menguji kemampuan maksima cip pemprosesan, dan tidak semestinya akan disenaraikan sebagai kelajuan lewahjam rasmi kerana Qualcomm masih akan mahu memastikan bahawa prestasi cip pemprosesan ini adalah selari dengan penggunaan kuasa elektrik/bateri peranti supaya peranti yang menggunakan cip ini tidak kehabisan bateri terlalu awal.
Walaupun begitu, ia nampaknya sekurang-kurangnya mengesahkan bahawa Qualcomm Snapdragon 8 Elite 2 akan hadir dengan prestasi yang lebih mantap berbanding dengan Snapdragon 8 Elite, yang sudahpun dilihat sebagai cip pemprosesan peranti pintar yang sangat hebat.
