
PETALING JAYA: Seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun ditahan Jabatan Kastam Chennai, India selepas cuba menyeludup 3.42 kilogram (kg) ganja hidroponik yang dianggarkan bernilai kira-kira RM520,000, pada 31 Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berkenaan berasal dari Selangor dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan bagi menentukan sama ada lelaki berkenaan mempunyai kaitan dengan sindiket yang sama atau sindiket lain susulan penahanan rakyat Malaysia di Chennai sebelum ini kerana membawa ganja hidroponik.
“JSJN telah dimaklumkan pihak Narcotics Control Bureau (NCB) India mengenai penahanan seorang lelaki warganegara Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai bersama rampasan dadah yang disembunyikan di dalam bagasi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, maklumat awal, suspek telah menaiki penerbangan AirAsia AK-11 dari KLIA2 ke Chennai, India, pada 31 Ogos lalu.
Jelasnya, hasil pemeriksaan pihak Kastam Chennai terhadap bagasi milik suspek menemukan dadah jenis ganja hidroponik seberat 3.42kg yang disembunyikan di dalam kompartmen rahsia bagasi berkenaan.
“Suspek kini ditahan oleh pihak berkuasa India untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Narcotic Drugs and Psychotropic Substances (NDPS) Act 1985.
“JSJN turut bekerjasama dengan pihak berkuasa India bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes berkenaan termasuk kemungkinan wujudnya rangkaian penyeludupan yang melibatkan rakyat Malaysia,” jelasnya.
Terdahulu, laporan United News of India (UNI) berkata, suspek ditahan selepas pergerakannya menimbulkan syak pegawai Air Intelligence Unit (AIU) Kastam Chennai yang menjalankan pemeriksaan berdasarkan pemprofilan penumpang.
Suspek ditahan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan dan direman dalam tahanan kehakiman, manakala siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan kaitannya dengan rangkaian penyeludupan dadah antarabangsa secara lebih meluas. –UTUSAN
The post Rakyat Malaysia seludup ganja hidroponik ke India appeared first on Utusan Malaysia.






