
MELAKA: Rakyat kini semakin menilai parti politik berdasarkan prestasi, rekod dan hasil yang telah dilaksanakan, bukannya sekadar slogan atau janji.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, PKR dan Pakatan Harapan (PH) justeru itu perlu terus membuktikan kepercayaan yang diberikan rakyat melalui prestasi pentadbiran serta dasar memberi manfaat.
“Rakyat sudah cukup melihat, mereka tidak lagi menilai sesiapa dengan slogan, mereka menilai dengan rekod,” katanya dalam ucapan perasmian serentak Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), semalam.
Nurul Izzah berkata, masa depan PKR bergantung kepada kemampuan parti itu mengekalkan kepelbagaian pemikiran selain memastikan prinsip reformasi tidak berubah apabila parti memperoleh kuasa.
Beliau kemudian mengingatkan bahawa kemenangan politik bukan sekadar memperoleh kuasa, sebaliknya hadir bersama amanah dan tanggungjawab yang jauh lebih besar.
Katanya, cabaran sebenar sesebuah parti ialah memastikan kuasa yang diperoleh digunakan dapat membawa perubahan dan bukan mempertahankan kepentingan kelompok tertentu.
“Kepimpinan bukan soal memiliki kuasa. Kepimpinan adalah soal memelihara amanah. Perbezaannya kelihatan kecil, tetapi daripada perbezaan kecil inilah lahirnya aliran politik yang sangat berbeza. Yang satu mempertahankan kerusi, yang satu lagi mempertahankan nilai,” katanya.
Sementara itu, Nurul Izzah berkata, PKR akan gagal membentuk sebuah organisasi yang benar-benar kukuh sekiranya budaya ‘parti dalam parti’ terus berakar umbi, sekali gus mewujudkan keadaan ‘dua nakhoda mengemudi satu kapal’.
Katanya, kewujudan kelompok atau struktur kuasa tersembunyi di sebalik kuasa yang sah akan melemahkan parti dan menghakis tumpuan agenda perjuangan.
Beliau berkata, kewujudan struktur kuasa tersembunyi itu boleh mencetuskan pertelingkahan dalaman PKR dan akhirnya melemahkan parti.
The post Rakyat nilai prestasi parti bukan janji -Nurul Izzah appeared first on Utusan Malaysia.






