
PETALING JAYA – Kehadiran November yang mempunyai lima hari Isnin iaitu pada 2, 9, 16, 23 dan 30 hari bulan, mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial apabila cuti umum Deepavali dianggap ‘penyelamat’ daripada satu lagi hari bekerja.
Menerusi perkongsian di Threads, seorang pengguna @tinieamzah berseloroh, bulan ini sepatutnya mempunyai lima hari Isnin, namun cuti Deepavali menjadikan hanya empat hari Isnin yang perlu dilalui.
“Bulan 11 ni ada lima kali Isnin, tapi Deepavali dah selamatkan satu hari Isnin, jadi tinggal empat je. Terima kasih Deepavali. I love you (saya sayang kamu),” tulisnya.
Hantaran itu mengundang reaksi pengguna lain yang turut berkongsi pandangan mengenai jumlah hari bekerja pada bulan ini, khususnya bagi mereka yang perlu memulakan rutin kerja setiap Isnin.
Seorang pengguna @niniedahlan pula memaklumkan bahawa Sarawak terkecuali daripada cuti umum Deepavali, sekali gus menyebabkan mereka masih mempunyai lima hari Isnin pada bulan ini.
“Fyi (untuk pengetahuan anda), Sarawak terkecuali. Jadi kami ada lima hari Isnin. Titik!” tulisnya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna @suelalaaaa turut memaklumkan dia hanya perlu berdepan tiga kali Isnin disebabkan hari ini telah mendapat cuti sakit (MC).
“Saya tolak MC hari ini, jadi lagi tiga kali Isnin,” katanya.
Tidak ketinggalan, pengguna @bumikenyalang8 turut mengucapkan terima kasih kepada Deepavali kerana cuti perayaan itu memberikan kelegaan daripada rutin bekerja.
“Ye terima kasih Deepavali sebab kalau tak kerana Deepavali bulan November ini tak ada PH (cuti umum). Nasib baik Deepavali ada,” luahnya.
Sementara itu, sambutan perayaan Deepavali tahun ini jatuh pada 8 November (Ahad), manakala Isnin, 9 November merupakan cuti gantian di negeri-negeri yang berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Ramai bersorak, Deepavali jadi penyelamat satu ‘Monday Blues’ appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] Langgar penunggang motosikal, pemandu pesan jumpa di balai](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-30-at-22.07.29-1024x731.jpeg)


