11 barangan dikawal harga sempena Deepavali

LocalBusiness & Finance
30 Oct 2026 • 3:54 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

11 barangan dikawal harga sempena Deepavali

Kuala Lumpur: Sebanyak 11 jenis barangan keperluan akan dikawal harga menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 selama tujuh hari bermula 4 November ini bagi memastikan pengguna mendapat bekalan pada harga berpatutan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan skim sehingga 10 November depan itu membabitkan dua barangan baharu, iaitu santan dan ubi kentang dari China, berbanding sembilan jenis barangan pada tahun lalu.

Katanya, skim berkenaan dilaksanakan selama empat hari sebelum perayaan, sehari pada hari perayaan dan dua hari selepas sambutan Deepavali yang jatuh pada 8 November ini.

“Barangan yang dikawal harga adalah bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (Ros), cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kacang dal Australia, kelapa biji, kelapa parut, santan, tomato dan ubi kentang dari China,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media sempena Pengumuman Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026, di sini, Khamis.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, perbandingan harga maksimum bagi tahun 2025 dan 2026 menunjukkan kebanyakan barangan kawalan mencatatkan harga stabil atau penurunan, bergantung kepada negeri.

Di Sabah, katanya, dua barangan iaitu bawang merah besar dan kacang dal Australia mencatatkan penurunan harga maksimum, manakala enam barangan lain mengekalkan harga, termasuk tomato, cili merah, kelapa, bawang merah kecil India dan bawang merah kecil India (Ros).

“Manakala di Sarawak pula, tiga barangan mengalami penurunan harga maksimum, iaitu kelapa parut, bawang merah kecil India dan kacang dal Australia, manakala lima barangan lain mengekalkan harga.

“Bagi Wilayah Persekutuan Labuan, kacang dal Australia mencatatkan penurunan harga maksimum, sementara tujuh barangan lain mengekalkan harga berbanding tahun lalu.

“Bagaimanapun, daging kambing biri-biri bertulang import menjadi satu-satunya barangan yang merekodkan peningkatan harga di peringkat borong dan runcit di seluruh Semenanjung, Sabah, Sarawak serta Labuan,” katanya.

Beliau berkata, penetapan senarai barangan, harga maksimum dan tempoh pelaksanaan skim mengambil kira faktor permintaan dan penawaran, kos semasa, cuaca serta kadar upah, selain pandangan kementerian berkaitan, agensi kerajaan dan pemain industri.

Katanya, KPDN turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memastikan bekalan barangan kawalan mencukupi sepanjang tempoh skim berkenaan.

Beliau turut menegaskan pelaksanaan SHMMP Deepavali 2026 dikuatkuasakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan peniaga digalakkan menjual barangan pada harga lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya memperoleh bekalan pada kos yang lebih murah.

Katanya, KPDN juga akan menempatkan pegawai penguat kuasa di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah bagi memantau pematuhan peniaga, selain melaksanakan pendekatan berhemah menerusi pendidikan, nasihat dan amaran.

“Peniaga yang menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, atau kompaun sehingga RM50,000 bagi individu. Syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

“Kegagalan mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal juga boleh dikenakan tindakan, dengan denda sehingga RM10,000 atau kompaun RM5,000 bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai boleh membuat aduan berkaitan kepatuhan harga melalui WhatsApp 019-848 8000, Pusat Panggilan 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi Ez ADU KPDN.

Armizan memaklumkan selain skim kawalan harga, KPDN turut melaksanakan Program Jualan Rahmah Madani Deepavali serta program Servis Ihsan Madani@Petronas AutoExpert (SIM@PAX) yang membabitkan 124 bengkel di seluruh negara dari 25 Oktober hingga 7 November ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved