
KUALA LUMPUR: Satu perkongsian di Threads mencuri perhatian pengguna media sosial selepas mendedahkan ruang di belakang chiller minuman yang digunakan staf untuk mengisi semula stok.
Perkongsian asal oleh pengguna Threads, addaaazwan, mengundang pelbagai reaksi selepas dia mengakui baru mengetahui cara staf FamilyMart menyusun minuman dari bahagian belakang peti sejuk.
Ruang Staf Isi Semula Stok
Menerusi ruangan komen, pengguna Threads, Nazrul Naim (@itsnnaim), turut berkongsi video yang memperlihatkan ruang di belakang chiller, sekali gus memberikan gambaran bagaimana staf mengisi semula stok minuman.
Video tersebut menarik perhatian pengguna yang tidak menyangka peti sejuk minuman berkenaan mempunyai ruang akses dari bahagian belakang.
Netizen Kongsi Pengalaman
Ruangan komen turut dibanjiri pengalaman pengguna yang pernah berdepan situasi sama ketika membeli minuman di kedai serbaneka.
Seorang pengguna, farihinhaushinka, berkongsi pengalaman ternampak seekor kucing di dalam chiller sebuah kedai Petron. Dia menyangka haiwan itu terperangkap sebelum mengetahui terdapat ruang di belakang yang digunakan staf untuk mengisi semula stok.
Menurutnya, kucing berkenaan turut masuk ke ruang tersebut dan berada di situ bersama staf.
Seorang lagi pengguna, luggagekundur, yang pernah bekerja di Caltex menjelaskan bahawa ruang sejuk berkenaan memudahkan pekerja menyusun stok dari belakang. Dia turut menyatakan bahawa stok dengan tarikh luput lebih awal diletakkan di hadapan.
Sementara itu, beberapa pengguna lain mengakui pernah terkejut apabila melihat tangan staf muncul dari dalam chiller ketika mereka sedang memilih minuman.
Ada juga yang berkongsi pengalaman tersentuh tangan pekerja ketika cuba mengambil air, manakala seorang pengguna mengakui berasa gementar kerana tidak menyangka ada orang di sebalik ruang tersebut.
Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna Threads, khususnya mereka yang baru mengetahui cara staf kedai serbaneka mengisi semula stok minuman. – The Malaysian Update
The post Ramai Tak Sangka Staf FamilyMart Susun Air Dari Belakang Chiller appeared first on The Malaysian Update.






