RCI syor Akta Tabung Haji dipinda, kuasa menteri terlalu luas

LocalPolitics
29 Jul 2026 • 10:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RCI syor Akta Tabung Haji dipinda, kuasa menteri terlalu luas
RCI mengesyorkan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) dipinda selepas mendapati beberapa peruntukannya tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengesyorkan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) dipinda selepas mendapati beberapa peruntukannya tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa.

Perkara ini termasuk memberi kuasa yang terlalu luas kepada menteri dalam mengawal selia Lembaga Tabung Haji (TH).

Menurut laporan RCI, kuasa berkenaan merangkumi aspek operasi haji, pengurusan dana dan pelaburan, sedangkan portfolio itu memerlukan kepakaran khusus terutama dalam bidang kewangan.

Laporan itu menyatakan, sepanjang tempoh siasatan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang bertanggungjawab menyelia TH mempunyai kepakaran dalam bidang agama, menyebabkan mereka bergantung kepada cadangan dikemukakan pihak pengurusan dan Lembaga TH dalam membuat keputusan berkaitan dana serta pelaburan.

Sehubungan itu, RCI berpandangan kuasa mengawal selia TH wajar dikongsi antara Menteri Hal Ehwal Agama dan Menteri Kewangan bagi memastikan setiap keputusan melibatkan pengurusan dana serta pelaburan dibuat secara lebih berkesan dan seimbang.

Laporan itu turut mendapati Akta 535 ketika ini hanya menetapkan Pengerusi dan anggota Lembaga TH mestilah beragama Islam serta warganegara Malaysia, namun tidak memperincikan kriteria kelayakan atau pengalaman profesional yang perlu dimiliki sebelum dilantik.

RCI berpandangan syarat pelantikan itu wajar diperkemaskan dengan mengambil kira amalan badan berkanun lain yang menetapkan individu dilantik perlu mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang kewangan, ekonomi, perniagaan, perakaunan atau disiplin berkaitan.

Menurut laporan itu lagi, langkah itu penting bagi memastikan Lembaga TH diterajui individu yang mempunyai kompetensi sesuai untuk mengurus dana pendeposit serta membuat keputusan pelaburan yang lebih berintegriti.

Laporan berkenaan turut menegaskan pindaan terhadap Akta 535 merupakan antara langkah penting bagi memperkukuh tadbir urus TH, selain meningkatkan keyakinan pendeposit terhadap institusi itu pada masa hadapan.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved