PUTRAJAYA - Keterangan bekas ketua pegawai kewangan (CFO) sebuah syarikat milik badan berkanun bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa pembelian saham dua buah syarikat perladangan bernilai kira-kira RM370 juta akan disambung di hari keempat pada Jumaat.
Ini susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang telah didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merekod keterangan bekas CFO itu lebih tujuh jam di hari ketiga pada Khamis.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, bekas pegawai kanan tersebut telah tiba di Ibu Pejabat SPRM sekitar jam 10 pagi.
“Rakaman percakapan beliau pada hari ketiga (Khamis) telah selesai kira-kira jam 5.30 petang.
"SPRM akan sambung rakam keterangannya pada esok untuk hari keempat,” katanya pada Khamis.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) dan bekas CFO syarikat milik badan berkanun yang disyaki telah menyalah guna kuasa dalam proses pembelian saham dua buah syarikat perladangan bernilai RM370 juta ditahan pada Selasa.
Kedua-dua mereka berusia 68 dan 60 tahun telah ditahan semasa hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 6.30 petang.
Namun, kedua mereka telah dibebaskan malam Selasa atas faktor kesihatan.
Bagaimanapun, di hari kedua pada Rabu, hanya bekas CFO hadir untuk diambil keterangan, manakala bekas CEO tidak dapat hadir atas faktor kesihatan.






