johardy30/07/2026 - 08:00 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Julai – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) yang dinyahklasifikasikan mendedahkan bahawa empat laporan polis telah dibuat dan enam perkara dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelbagai dakwaan salah laku.
Dakwaan itu termasuk salah nyata, penyembunyian maklumat, rasuah, penyalahgunaan kuasa, pemalsuan dan manipulasi laporan pelaburan.
Bagaimanapun, laporan dan rujukan berkenaan tidak membawa kepada sebarang pertuduhan di mahkamah oleh Jabatan Peguam Negara.
Siasatan dalaman terhadap beberapa perkara berkenaan, termasuk penjualan PT TH Indo Plantations (THIP), kemudiannya membawa kepada tindakan tatatertib terhadap lima bekas anggota pengurusan kanan.
Keputusan awal untuk memecat beberapa individu terbabit bagaimanapun dikurangkan kepada hukuman penurunan pangkat selepas mereka mengemukakan rayuan.
Setakat tempoh siasatan RCI, kelima-lima individu berkenaan masih kekal dalam kumpulan Tabung Haji, dengan empat daripada mereka memegang jawatan kanan di TH Hotel & Residence Sdn. Bhd., TH Plantations Bhd. dan TH Properties Sdn. Bhd.
Tindakan tatatertib turut merangkumi amaran keras berhubung sumbangan RM22.12 juta oleh Yayasan Tabung Haji yang dibuat tanpa kelulusan diperlukan.
RCI berkata, proses tindakan tatatertib mengambil masa antara 10 hingga 19 bulan dan perlu diperkemas serta dipercepatkan supaya dilihat berkesan, cekap, adil dan telus.
Isu pembayaran hibah 2017
Antara kes yang dibangkitkan ialah laporan polis yang dibuat pada 2019 berhubung dakwaan bahawa pengurusan TH membuat salah nyata dalam kertas yang dibentangkan kepada Lembaga Pengarah pada Februari 2018.
Kertas berkenaan didakwa bertujuan membolehkan TH mengisytiharkan pembayaran hibah yang tinggi bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.
Menurut RCI, pengurusan menggunakan nilai aset boleh direalisasikan atau realisable asset value (RAV), yang lebih tinggi daripada nilai aset diaudit, dalam pengiraan agihan berkenaan.
Akta Tabung Haji menetapkan bahawa nilai aset dana itu tidak boleh kurang daripada jumlah keseluruhan liabilitinya sebelum keuntungan boleh diagihkan.
Pengurusan berhujah bahawa Akta Tabung Haji tidak memberikan takrif yang jelas mengenai aset dan oleh itu, pihak pengurusan mempunyai hak menentukan kaedah nilai aset dikira.
Penjualan pegangan THIP
Satu lagi laporan polis dibuat pada November 2018 berhubung penjualan 95% pegangan TH dalam THIP kepada PT Borneo Pacific yang didakwa melibatkan salah nyata dan penyembunyian maklumat.
RCI mendapati TH telah memindahkan saham berkenaan sebelum menerima bayaran penuh.
TH juga mendahulukan AS$178.6 juta yang sepatutnya dijelaskan oleh PT Borneo Pacific.
Nilai urus niaga itu kemudiannya dikurangkan daripada AS$910 juta kepada AS$810 juta.
Empat individu pada mulanya berdepan hukuman pemecatan berhubung penjualan THIP, iaitu bekas Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Datuk Rozaida Omar; bekas Pengurus Besar Kanan, Rifina Md Ariff; Ketua Pegawai Sumber Manusia ketika itu, Mohd Hisham Harun; dan bekas Penasihat Undang-Undang, Hazlina Mohd Khalid.
Bagaimanapun, hukuman pemecatan terhadap keempat-empat mereka kemudiannya ditukar kepada penurunan pangkat selepas rayuan dikemukakan.
Rozaida turut berdepan hukuman pemecatan berhubung pembayaran hibah 2017, namun hukuman itu juga dikurangkan kepada penurunan pangkat selepas rayuan.
Sumbangan RM22.12 juta tanpa kelulusan
Secara berasingan, tindakan tatatertib turut diambil berhubung sumbangan RM22.12 juta oleh Yayasan Tabung Haji yang dibuat tanpa kelulusan diperlukan.
Rozaida dan Ketua Pegawai Operasi ketika itu, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, masing-masing dikenakan amaran keras.
Mohd Hisham pula menerima amaran dan kenaikan gajinya ditangguhkan. - DagangNews.com






