
KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan tiada aset Lembaga Tabung Haji (TH) dijual kepada bukan Islam atau masyarakat Cina seperti yang didakwa sesetengah pihak berhubung pelan pemulihan institusi itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hassan berkata, aset berkenaan sebaliknya dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB), sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.
“Saya ingin menegaskan di sini, tiada aset yang dijual kepada bukan Islam mahupun kepada Cina seperti yang difitnahkan oleh beberapa pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menanamkan kebencian dan membuat hasutan.
“Aset ini adalah hak milik Urusharta Jamaah, syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan,” katanya ketika memberi penerangan berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, TH berdepan jurang defisit antara aset dan liabiliti melebihi RM10 bilion pada suku keempat 2018, menyebabkan institusi itu berdepan situasi kewangan genting.
Susulan itu, kerajaan ketika itu memutuskan untuk menjual aset kurang berdaya saing dan bermasalah bernilai RM9.7 bilion pada nilai premium RM19.9 bilion bagi menutup jurang defisit tersebut.
Aset yang terlibat merangkumi 106 saham tersenarai, 29 hartanah dan sebuah syarikat ladang kelapa sawit yang dijual kepada UJSB, iaitu syarikat tujuan khas milik kerajaan.
Dalam masa sama, TH diberikan atau Hak Keutamaan untuk Menolak terhadap aset yang dipindahkan sekiranya UJSB bercadang menjualnya ke pasaran.
Hak itu tidak mewajibkan TH membeli semula aset terbabit, sebaliknya memberikan keutamaan kepada institusi berkenaan untuk berbuat demikian berdasarkan penilaian komersial dan kesesuaian dengan kriteria pelaburannya.
Tambahnya, pelan berkenaan diwujudkan bagi memulihkan kedudukan kewangan TH dan bukan kerana kerajaan mahu mengambil aset institusi tersebut.- KOSMO! ONLINE
The post RCI TH: Tiada aset TH dijual kepada bukan Islam, Cina appeared first on Kosmo Digital.






