
Kipas terbina dalam dan sebuah peranti berfokuskan permainan sememangnya padanan yang baik. Inilah yang cuba ditawarkan oleh Redmi melalui model baharu mereka K90 Max yang bakal hadir tidak lama lagi. Peranti ini juga menjadi tambahan kepada siri Redmi K90 yang mula diperkenalkan pada Oktober 2025.

Peranti ini direka khusus untuk permainan dengan kipas penyejuk terbina. Menurut Redmi, sistem penyejukan ini menggunakan kipas berukuran 18.1mm dengan reka bentuk pengaliran udara menegak yang mampu menghasilkan aliran udara 1.3 kali lebih baik berbanding telefon lain dengan kipas terbina. Xiaomi turut mendakwa sistem ini boleh menurunkan suhu peranti sehingga 10°C dalam masa 100 saat ketika sesi permainan intensif.

Butiran lain peranti ini termasuklah skrin dengan kadar segar semula 165Hz, iaitu lebih tinggi berbanding RedMagic 11 Pro yang menawarkan 144Hz. Selain itu, ia akan hadir dengan sokongan dwi-cip, namun butiran penuh mengenai cip tersebut masih belum diumumkan. Sebagai rujukan, Redmi K90 Pro Max menggunakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5.
Peranti ini turut dilengkapi dengan butang bahu bagi memberikan pengalaman permua yang lebih baik. Di samping itu, terdapat penambahbaikan pada kawalan sentuhan, kestabilan rangkaian serta audio untuk memastikan pengalaman permainan lebih imersif. Pelancaran peranti dijadualkan berlangsung pada bulan ini.



