Reformasi ekonomi mungkin tidak popular, tetapi perlu demi manfaat jangka panjang

LocalBusiness & Finance
18 Aug 2026 • 12:03 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Reformasi ekonomi mungkin tidak popular, tetapi perlu demi manfaat jangka panjang

PUTRAJAYA: Kerajaan mengakui usaha menstruktur semula ekonomi bukan mudah, terutama apabila dasar yang diperkenalkan tidak popular, namun langkah berkenaan perlu dilaksanakan demi manfaat jangka panjang negara dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata, antara langkah reformasi yang dilaksanakan ialah penyasaran subsidi elektrik sejak 2023, peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelaksanaan sistem e-Invois secara berfasa.

“Seringkali dasar yang diperkenalkan tidak popular, tetapi perlu dilaksanakan kerana manfaat jangka panjang yang lebih besar kepada negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan hari ini.

Amir berkata, program penyasaran subsidi elektrik yang ditambah baik secara berfasa terbukti tidak menjejaskan majoriti rakyat dengan 85 peratus pengguna domestik kekal dilindungi.

Katanya, langkah itu turut membantu menyokong kemampanan sektor tenaga negara manakala peluasan skop SST menunjukkan impak positif terhadap konsolidasi hasil negara tanpa menjejaskan kuasa beli pasaran domestik, menerusi pendekatan progresif dan berasaskan prinsip keadilan sosial.

“Pelaksanaan e-Invois secara berfasa kini menjadi tunjang kepada usaha meningkatkan ketelusan ekosistem perniagaan negara.

“Sistem itu bukan bertujuan membebankan, sebaliknya membantu mengecilkan saiz ekonomi bayangan (shadow economy), meningkatkan kecekapan taksiran serta mempercepatkan tadbir urus percukaian domestik,” katanya.

Mengulas lanjut, Amir berkata, ekonomi Malaysia kekal berada pada landasan kukuh apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.4 peratus pada suku pertama 2026 dan enam peratus pada suku kedua, menjadikan pertumbuhan keseluruhan sebanyak 5.7 peratus bagi separuh pertama tahun ini.

Katanya, prestasi itu mengatasi unjuran KDNK 2026 Bank Negara Malaysia (BNM) antara empat hingga lima peratus, sekali gus mencerminkan daya tahan ekonomi negara berdepan ketidaktentuan global.

Malah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia daripada 4.3 peratus pada Januari 2026 kepada 4.7 peratus pada April dan mengekalkan unjuran berkenaan dalam penerbitan terkininya pada Julai lalu selain nilai ringgit yang kekal stabil sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini.

“Jumlah pelaburan diluluskan pada 2025 pula mencatatkan paras tertinggi dalam sejarah sebanyak RM431.1 bilion, meningkat 11 peratus, manakala pelaburan diluluskan bagi suku pertama 2026 kekal mampan pada RM92.8 bilion,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pencapaian ekonomi berkenaan tidak bermakna sekiranya rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup.

Biarpun, inflasi bagi tujuh bulan pertama tahun ini meningkat kepada 1.8 peratus susulan peningkatan harga minyak mentah dunia akibat konflik Asia Barat, namun kerajaan terus mengambil langkah bagi meringankan beban rakyat.

“Antaranya, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan daripada RM10 bilion pada 2024 kepada RM15 bilion, menjadikannya peruntukan bantuan bersasar tertinggi dalam sejarah.

“Kerajaan turut memperluas Program Jualan Rahmah MADANI pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada pasaran, meliputi semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta seluruh 40 zon di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan, dengan 15,881 program dilaksanakan sehingga 30 Jun lalu.

Selain itu, penyasaran subsidi diesel melalui mekanisme BUDI MADANI Diesel dilaksanakan mulai 1 Julai lalu, membolehkan rakyat Malaysia yang layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter dengan had asas sehingga 200 liter sebulan. – UTUSAN

The post Reformasi ekonomi mungkin tidak popular, tetapi perlu demi manfaat jangka panjang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved