Rundingan kerusi PRN Melaka perlu ikut formula menang-menang – Gerakan

LocalPolitics
22 Aug 2026 • 2:21 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rundingan kerusi PRN Melaka perlu ikut formula menang-menang – Gerakan

KUALA LUMPUR: Rundingan agihan kerusi antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu berasaskan formula situasi menang-menang demi kesinambungan kerjasama kedua-dua gabungan parti di masa depan.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, bagi mencapai persefahaman itu, proses rundingan yang dijalankan mesti dibuat dengan penuh keikhlasan.

Beliau berkata, keikhlasan dan hubungan erat antara pemimpin utama kedua-dua pihak adalah kunci penting dalam membina formula terbaik yang bukan sahaja menguntungkan gabungan, tetapi juga membawa kebaikan jangka panjang kepada negara.

“Untuk mencapai situasi win-win, ia sudah tentu memerlukan masa, kepercayaan, dan perbincangan yang jujur serta ikhlas antara pimpinan. Ini adalah untuk kebaikan jangka panjang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat Gerakan, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pandangan BN yang mahu mengekalkan 21 kerusi tradisi mereka di Melaka, Dominic menjelaskan bahawa mana-mana parti berhak meluahkan pandangan masing-masing mengenai potensi serta hasrat kerusi yang mahu ditandingi.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa mengikut amalan dan formula sedia ada, keutamaan bertanding kebiasaannya diberikan kepada penyandang kerusi (incumbent seat).

Meskipun begitu, katanya, pintu rundingan masih terbuka luas dan pelbagai pendekatan boleh dipertimbangkan secara bersama, termasuk mengambil kira taburan kerusi Parlimen dalam perbincangan tersebut.

“Sesiapa sahaja boleh menyatakan pandangan mengenai kerusi yang mahu dipertahankan. Namun, proses rundingan masih boleh diteruskan dan kita yakin pimpinan mempunyai kebijaksanaan untuk menyelesaikan perkara ini demi kebaikan BN dan PN,” katanya.

Dalam pada itu, Dominic mengesahkan telah mengenal pasti beberapa kerusi berpotensi untuk ditandingi parti itu dan maklumat awal telah pun dimaklumkan kepada kepimpinan tertinggi PN.

Namun, beliau masih belum bersedia untuk berkongsikan jumlah kerusi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sudah dikenal pasti tersebut kepada umum.-UTUSAN

The post Rundingan kerusi PRN Melaka perlu ikut formula menang-menang – Gerakan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved