Samsung Galaxy Z Fold7 dan Samsung Galaxy Z Flip7 akan dilancarkan dalam masa dua minggu sahaja lagi. Sebelum ini beberapa imej pengolokan berasaskan lukisan CAD telah tertiris. Hari ini imej pengolokan rasmi untuk kedua-dua peranti telah tertiris ke arena web menerusi laman Android Headlines.

Skrin bahagian dalam nampak agak aneh kerana terdapat lubang kamera sedangkan pada model terdahulu kamera UDC bawah skrin digunakan. Bonggol untuk trikamera juga nampak lebih besar. Tiada sebarang petanda peranti mempunyai ruang untuk meletakkan stylus.

Sementara itu Z Flip7 pula dilengkapi skrin luar yang melitupi keseluruhan panel belakang seperti yang dapat dilihat pada peranti katup Motorola dan Xiaomi. Tiada perubahan lain dapat dilihat pada skrin lipat di dalam atau rekaan tubuh.
Rekaan yang tidak banyak berubah ini tidak mengejutkan kerana Samsung mengitar semula rekaan siri Galaxy Z dan Galaxy S sejak tiga tahun kebelakangan ini. Tiada maklumat mengenai spesifikasi kedu-dua peranti ini tertiris. Yang diketahui setakat ini ialah kedua-duanya akan menggunakan One UI 8 berasaskan Android 16 yang dilancarkan beberapa minggu lalu.



