
Tanggal 14 Oktober tahun lalu, negara digemparkan dengan berita kematian remaja perempuan, Yap Shing Xuen berusia 16 tahun yang maut dengan kesan banyak tikaman di bahagian dada, leher, dan paru-paru di sebuah sekolah di Petaling Jaya, Selangor.
Kurang setahun insiden berdarah itu berlaku, satu lagi tragedi menyayat hati menimpa pelajar tingkatan empat, Allahyarham Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal ditemukan tidak sedarkan diri di dewan sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor.
Kedua-dua insiden tragis itu secara tidak langsung mencetuskan kebimbangan mendalam dalam kalangan masyarakat mengenai tahap kesihatan mental serta kestabilan emosi remaja masa kini, yang sanggup mengambil tindakan ekstrem di luar kewarasan akal.
Daripada perspektif psikologi, pelbagai faktor boleh menyumbang kepada berlakunya tindakan itu dipercayai meninggalkan kesan psikologi berpanjangan tingkah laku.
Menurut Pakar Psikologi Kaunseling, Dr. Meriam Omar Din, antara faktor yang boleh menyumbang kepada kitaran keganasan ialah role-modeling, iaitu proses pembelajaran melalui pemerhatian terhadap tingkah laku individu di sekeliling, khususnya ibu bapa.
Apabila anak membesar dalam persekitaran yang menyaksikan bapa memukul ibu atau penderaan dianggap sebagai perkara biasa, mereka berisiko menganggap keganasan sebagai cara untuk menyelesaikan konflik atau mengawal orang lain.
Dalam konteks Malaysia, stigma masyarakat dan rasa malu mendedahkan masalah keluarga boleh menjadi penghalang kepada usaha mendapatkan bantuan.
Budaya menganggap urusan rumah tangga sebagai hal peribadi turut menyebabkan sesetengah mangsa memilih untuk terus berdiam diri.
“Khidmat kaunseling untuk kes-kes penderaan seperti Women’s Aid Organisation (WAO) masih terhad di negara ini. Satu tindakan secara integrasi perlu dilaksanakan untuk menangani masalah penderaan wanita dan anak-anak yang berlaku secara tersembunyi di rumah.
“Faktor utama yang menyebabkan fenomena ini berlaku disebabkan nilai dan budaya masyarakat Timur yang memberi kuasa mutlak kepada ibu bapa untuk menjaga anak-anak.
“Budaya malu untuk mendedahkan hal-hal buruk dalam keluarga kepada pihak luar dan budaya sempadan yang wujud dalam keluarga untuk tidak berkongsi hal keluarga dengan pihak luar,” katanya.
Kebimbangan terhadap keganasan dalam kalangan remaja, termasuk kes pembunuhan yang dikaitkan dengan konflik hubungan atau kecemburuan juga memerlukan perhatian serius.
Perasaan cemburu semata-mata tidak memadai untuk menjelaskan tindakan membunuh.
Sebaliknya, sejarah kehidupan individu, pengalaman trauma, kemahiran mengawal emosi, corak hubungan dan faktor persekitaran perlu diteliti melalui siasatan serta penilaian profesional.
The post Remaja ganas, di mana silapnya? appeared first on Kosmo Online.






