Remaja maut, motosikal dibonceng langgar basikal

24 Oct 2026 • 3:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Remaja maut, motosikal dibonceng langgar basikal
Lokasi kejadian seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah basikal di Jalan Batu Lintang, dekat Tikam Batu awal pagi Sabtu.
Image from: Remaja maut, motosikal dibonceng langgar basikal
Keadaan basikal mangsa yang terlibat kemalangan mengalami kerosakan teruk.

SUNGAI PETANI – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut selepas motosikal yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah basikal di Jalan Batu Lintang, dekat Tikam Batu, di sini pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, mangsa yang merupakan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 12.35 tengah malam apabila motosikal yang dinaiki mangsa bersama seorang lagi remaja dipercayai melanggar sebuah basikal yang berada di hadapan mereka.

“Pada jam lebih kurang 12.35 tengah malam, anggota Pejabat Pertanyaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal dan basikal di lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal terbabit dipercayai telah melanggar basikal yang berada di hadapannya dalam lorong dan arah perjalanan yang sama,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

**media[3688071]**

Menurut Hanyan, ketiga-tiga individu yang terlibat datang dari arah Batu Lintang menghala ke Teluk Wang Besar.

Akibat pelanggaran itu, penunggang dan pembonceng motosikal masing-masing berusia 16 tahun tercampak ke bahu jalan sebelah kiri, manakala penunggang basikal berusia 57 tahun terjatuh di atas jalan.

“Penunggang motosikal dan penunggang basikal mengalami kecederaan parah serta dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan lanjut.

“Pembonceng motosikal pula disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSAH bagi tujuan bedah siasat.

Katanya, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved