amree06/08/2026 - 14:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Ogos — YTL Power International Berhad berpotensi memperkukuh prospek pertumbuhan jangka panjang menerusi pembangunan bandar Brabazon di Britain, menurut analisis RHB Research.
Projek terbaharu itu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah £7 bilion (kira-kira RM38.52 bilion) namun perlu berdepan tempoh pelaksanaan yang panjang serta isu risiko kemajuan tidak dijangka.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham kumpulan itu dan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM6.35 daripada RM6.00 selepas dimasuk nilai projek dalam penilaian jumlah bahagian (SOP).
"Brabazon di atas kawasan seluas 182 hektar di Bristol merupakan antara 12 projek bandar baharu disokong kerajaan Britain dan dibangunkan secara berperingkat dalam tempoh 20 tahun," kata RHB Research.
Firma penyelidikan itu menganggarkan GDV konservatif projek itu berdasarkan kadar pertukaran semasa, bersamaan 36 sen sesaham atau sekitar 6% daripada keseluruhan penilaian SOP bagi YTL Power.
Tambahnya, pada fasa awal pembangunan, kumpulan berkenaan hanya perlu menyiapkan dan menyerahkan sejumlah 500 unit kediaman, manakala 239 lagi unit rumah akan dibina pada fasa yang seterusnya.

Secara keseluruhan kata RHB Research, projek itu berpotensi menempatkan sehingga 25,000 rumah selain pembangunan ruang komersial berkeluasan 24 hektar, taman awam dan stesen kereta api baharu.
"Diskaun harga saham diberikan terhadap penilaian Brabazon adalah munasabah memandangkan projek itu mengambil masa panjang untuk disiapkan, selain berdepan risiko pasaran hartanah Britain," katanya.
Selain pembangunan hartanah, firma itu turut melawat operasi Wessex Water di Bath yang merupakan antara penyumbang pendapatan paling stabil kepada YTL Power sendiri sejak diambil alih pada 2002.
Menurut RHB Research, syarikat itu menyediakan perkhidmatan bekalan air dan pembetungan kepada 2.9 juta penduduk di barat daya England serta merancang pelaburan bagi menaik taraf aset hingga 2030.
Ia mengunjurkan Wessex Water menyumbang 37% daripada keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi FY27 hingga FY28, disokong kenaikan tarif air sebanyak 21% yang dimasukkan dalam model unjurannya.
"Kami tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan YTL Power, namun berpandangan prospek syarikat terus disokong sumbangan meningkat daripada segmen pusat data (DC)," katanya.
Bagaimanapun RHB Research mengingatkan antara risiko utama perlu diberi perhatian ialah kenaikan kos bahan api di Singapura dan kemungkinan kelewatan pentauliahan projek DC baharu. - DagangNews.com






