‘Rindu mak yang dulu...’ - Luahan sayu Nubhan kenang kesihatan Mak Jenny semakin merosot, mohon doa ramai

Family & ParentingLifestyle
29 Jun 2026 • 9:16 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: ‘Rindu mak yang dulu...’ - Luahan sayu Nubhan kenang kesihatan Mak Jenny semakin merosot, mohon doa ramai

KASIH seorang anak terhadap ibu tiada penghujungnya.

Apabila melihat ratu hati yang dahulunya cergas bertenaga kini hanya mampu terbaring, pastinya merobek tangkai hati sesiapa sahaja yang melaluinya.

Situasi hiba itu sedang dilalui oleh penyanyi dan usahawan, Nubhan Ahamad, yang berkongsi perkembangan terkini kesihatan ibunya, Badariah Omar, atau lebih mesra disapa Mak Jenny.

Menerusi hantaran menyayat hati di media sosial miliknya, bapa kepada tiga cahaya mata itu meluahkan rasa sedih yang mendalam melihat keadaan syurganya itu yang semakin merosot dari hari ke hari.

Selain berkongsi rasa hati, Nubhan turut memuat naik video dan foto kenangan lama bersama ibunya sebagai pengubat rindu.

"Dulu, aku selalu ingat mak akan kekal macam ni selamanya. Masih mampu berjalan, masih mampu ketawa, masih mampu bergurau dengan kami.

"Rupa-rupanya, ALLAH hanya meminjamkan saat-saat tu supaya suatu hari nanti bila aku lihat kembali semua kenangan ni.

"Aku tahu betapa berharganya nikmat mempunyai seorang ibu yang sihat dan betapa cepatnya masa mengubah segala-galanya," luahnya hiba.

Image from: ‘Rindu mak yang dulu...’ - Luahan sayu Nubhan kenang kesihatan Mak Jenny semakin merosot, mohon doa ramai

Hospital rumah kedua

Menyingkap kembali fasa perubahan kesihatan ibunya, pelantun lagu Seadanya Aku itu mengakui detik-detik awal kesihatan Mak Jenny semakin merudum adalah perkara paling sukar untuk diterima dan diingat kembali.

Daripada seorang wanita yang sentiasa aktif dan menjadi tunjang kekuatan keluarga, kini rutin harian mereka sekeluarga mula berubah apabila hospital menjadi tempat yang paling kerap dikunjungi demi memastikan Mak Jenny mendapat rawatan terbaik.

"Inilah bahagian yang paling aku tak sanggup tengok dan bahagian yang paling aku tak suka untuk ingat balik sebab kat sini lah bermula semuanya.

"Kesihatan mak perlahan-lahan merosot daripada seorang wanita yang sentiasa aktif, yang sentiasa menjadi penguat keluarga.

"Dulu, sekarang hospital mula jadi tempat yang kerap kami pergi. Rawatan demi rawatan dan sejak hari tu, aku mula sedar tak ada siapa yang akan kekal kuat selama-lamanya.

"Rindu, ya ALLAH. Rindunya saat-saat gelak ketawanya," ujar bekas finalis Akademi Fantasia musim keenam (AF6) itu lagi.

Image from: ‘Rindu mak yang dulu...’ - Luahan sayu Nubhan kenang kesihatan Mak Jenny semakin merosot, mohon doa ramai

Berdoa dalam diam

Lebih menyedihkan, Nubhan berkongsi bahawa suasana kepulangannya ke kampung halaman kini tidak lagi sama seperti dahulu.

Jika dahulu kepulangannya disambut dengan senyuman dan pertanyaan prihatin seorang ibu, kini semuanya berubah sekelip mata apabila ibunya hanya mampu terbaring berselimut.

"Rindu setiap detik-detik bersama mak ketika dia sihat. Inilah keadaan mak Jenny sekarang. Doakan mak Jenny sembuh, ya. Dia hanya terbaring.

"Orang selalu cakap selagi mak masih ada, kita masih ada tempat untuk pulang. Hari ini, aku masih pulang tapi aku dah tak boleh pulang kepada mak yang dulu.

"Mak yang sambut aku dengan senyuman. Mak yang sibuk bertanya, dah makan? Sekarang, aku cuma mampu memandang wajah mak dan berdoa dalam diam.

"Ya ALLAH, jangan ambil senyuman mak sebelum sempat aku membahagiakan dia sekali lagi," ungkapnya penuh pengharapan.

Image from: ‘Rindu mak yang dulu...’ - Luahan sayu Nubhan kenang kesihatan Mak Jenny semakin merosot, mohon doa ramai

SinarPlus mendoakan agar Mak Jenny diberikan kesembuhan, dipermudahkan segala urusan rawatan, dan Nubhan sekeluarga terus tabah mendepani ujian ini.

Buat pembaca, hargailah dan berbaktilah kepada ibu bapa selagi mereka masih ada di depan mata.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved