Pelan baharu tangani paras air Sungai Perak

LocalEnvironment
21 Apr 2026 • 2:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelan baharu tangani paras air Sungai Perak
Mohammad Nizar ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Selasa.
Image from: Pelan baharu tangani paras air Sungai Perak

IPOH - Kerajaan Perak merangka strategi jangka panjang termasuk pembangunan takungan air pinggiran sungai (Off River Storage, ORS) bagi memastikan kelestarian sumber air Sungai Perak terus terjamin.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, langkah itu merupakan antara pendekatan strategik susulan dapatan awal Kajian Penilaian Sumber Air Negeri Perak (Perak State Water Resources Assessment) yang sedang dilaksanakan.

Menurut beliau, hasil kajian awal oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu mendapati purata kadar alir tahunan Sungai Perak masih mencukupi bagi memenuhi keperluan bekalan air domestik dan pertanian di sepanjang sungai berkenaan.

“Namun terdapat beberapa penemuan yang memerlukan langkah mitigasi terutama apabila kadar alir bulan-bulan tertentu yang lebih rendah daripada purata bulanan seperti yang berlaku sejak Disember 2025," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.

Mohammad Nizar berkata, antara langkah mitigasi yang dicadangkan termasuk mengoptimumkan kapasiti takungan sedia ada serta meneroka pembangunan takungan tambahan melalui konsep ORS bagi meningkatkan keupayaan simpanan air negeri.

Selain itu katanya, pengurusan pelepasan air empangan turut akan diselaraskan semula antara musim banjir dan luar musim banjir bagi memastikan keseimbangan bekalan air dapat dikekalkan.

“Kerajaan negeri juga telah meminta JPS mendapatkan data terkini daripada pelbagai agensi termasuk Tenaga Nasional Berhad bagi merangka prosedur operasi standard (SOP) pengurusan sumber air Sungai Perak yang lebih komprehensif,” jelasnya.

Tambah beliau, pemantauan paras air Sungai Perak kini dilaksanakan secara berterusan menggunakan data hidrologi dan teknikal semasa bagi memastikan sebarang perubahan dapat ditangani dengan segera.

**media[3498875]**

Menurutnya, penurunan paras air sungai ketika ini berpunca daripada taburan hujan yang berada di bawah purata di utara Semenanjung sejak Disember lalu, susulan peralihan fasa iklim global.

“Berdasarkan unjuran agensi berkaitan, keadaan defisit hujan ini dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga suku kedua tahun 2026,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa tindakan jangka pendek turut dilaksanakan termasuk pembenihan awan di kawasan tadahan, pengoptimuman operasi pelepasan empangan secara bersepadu, pemantauan paras air secara masa nyata serta penguatkuasaan aktiviti perlombongan pasir mengikut garis panduan ditetapkan.

Bagi jangka panjang pula, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada kajian kebolehlaksanaan penambahbaikan SOP operasi empangan, pembangunan takungan air pinggiran sungai, kajian impak perlombongan pasir terhadap morfologi sungai serta pengukuhan pendekatan Integrated River Basin Management (IRBM).

“Kerajaan negeri turut mengambil kira unjuran perubahan iklim dalam setiap perancangan bagi memastikan pengurusan sumber air dilaksanakan secara mampan," katanya.