Perak wajibkan reban ayam tertutup bermula tahun depan

LocalEnvironment
21 Apr 2026 • 3:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Perak wajibkan reban ayam tertutup bermula tahun depan
Mohd Zolkafly ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak dalam Sidang DUN Perak pada Selasa.

IPOH - Kerajaan Perak menetapkan tempoh peralihan sehingga akhir tahun ini bagi semua penternak ayam beralih kepada sistem reban tertutup, kata Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Beliau berkata, penguatkuasaan penuh akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2027 dalam usaha mempercepat transformasi industri ke arah lebih moden, mampan dan mesra alam.

Menurut beliau, langkah itu juga bertujuan menangani isu pencemaran termasuk gangguan lalat dan bau yang sering dikaitkan dengan ladang ayam sistem terbuka.

“Kerajaan negeri mengambil maklum kebimbangan rakyat.

"Selain dasar yang dipersetujui ini, kerajaan negeri turut menubuhkan jawatankuasa taskforce peringkat negeri melibatkan pelbagai agensi, wakil rakyat, penternak serta komuniti setempat bagi memastikan isu berkaitan ditangani secara menyeluruh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.

Mohd Zolkafly berkata, industri penternakan ayam di Perak kini sedang melalui proses transformasi dengan 203 ladang telah menggunakan sistem reban tertutup sepenuhnya.

Katanya, 177 lagi masih beroperasi secara terbuka dengan 52 ladang dimiliki usahawan bumiputera yang berlesen dan aktif beroperasi di seluruh negeri.

“Peralihan kepada sistem reban tertutup ini bukan sahaja meningkatkan tahap biosekuriti, malah memperkukuh kecekapan pengeluaran serta daya tahan industri,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang itu mengakui, subsektor tanaman makanan kini berdepan tekanan susulan peningkatan kos input akibat ketidaktentuan global termasuk konflik di Asia Barat.

Katanya, kos bahan seperti benih, baja, racun, diesel serta kos mekanisasi dan logistik meningkat, manakala kos kerja ladang seperti pembajakan dan perataan tanah melonjak sehingga 70 hingga 80 peratus.

Sehubungan itu, kerajaan memperkukuh bantuan kepada pesawah termasuk kenaikan Bantuan Agri Komoditi daripada RM300 kepada RM400 serta Insentif Pembajakan daripada RM160 kepada RM300 sehektar bagi setiap musim.

"Seramai 15,460 pesawah menerima manfaat secara langsung daripada bantuan tersebut, melibatkan 9,899 pesawah di Pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian dan 5,561 pesawah di IADA Seberang Perak," katanya.

Dalam masa sama beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebanyak RM19.84 juta diperuntukkan bagi IADA Kerian termasuk RM18.44 juta untuk program pembangunan dan pengurusan padi, manakala RM12.002 juta disalurkan kepada IADA Seberang Perak.

“Peruntukan ini melibatkan kerja pemuliharaan tanah, pengapuran, perataan tanah serta naik taraf sistem saliran dan infrastruktur ladang yang membantu mengurangkan kos operasi serta meningkatkan kecekapan pengurusan air,” katanya.