UMNO mengesahkan kutipan dana menerusi Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu sudah mencapai sasaran dan mencukupi bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu juga sudah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.
“UMNO ingin mengumumkan bahawa jumlah kutipan dana melalui Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu bagi membantu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah pun mencapai sasaran dan mencukupi.
“UMNO telah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Susulan itu, UMNO mengambil keputusan menutup akaun khas tabung berkenaan yang diwujudkan bagi menerima sumbangan orang ramai.

Foto arkib
Asyraf Wajdi berkata, tiada lagi keperluan untuk meneruskan kutipan dana awam atau crowdfunding bagi tujuan berkenaan.
“UMNO dengan ini secara rasmi menutup akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak yang diwujudkan untuk penerimaan dana sumbangan orang ramai dan tiada lagi keperluan untuk pendanaan awam (crowdfunding) bagi tujuan tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada ahli UMNO di seluruh negara serta orang ramai yang menyumbang kepada tabung berkenaan sejak ia mula dilancarkan.
Beliau turut menzahirkan kesyukuran atas sokongan dan sumbangan yang diberikan sehingga sasaran kutipan dana berjaya dicapai.
“UMNO ingin merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah dan merakamkan ucapan penghargaan kepada ahli UMNO seluruh Malaysia dan orang ramai yang tidak putus-putus menyumbang ke dalam akaun yang disediakan sejak hari pertama,” katanya lagi.
Sumber: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki






