
PETALING JAYA: Sebanyak RM50 juta akan diperuntukkan bagi melaksanakan program Komuniti Angkat Madani yang memfokuskan usaha membantu komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan bandar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi pelaksanaan inisiatif berkenaan, pengurusan tertinggi kementerian dan agensi kerajaan diamanahkan untuk mengetuai sendiri ikhtiar pemerkasaan komuniti terbabit secara terus di lapangan.
“Bagi memperkasakan modal insan penduduk PPR, universiti dan institusi Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut dilibatkan bagi menawarkan pelbagai latihan kemahiran berasaskan kehendak pasaran semasa.
“Selain latihan kemahiran, kerajaan turut menyediakan kemudahan dapur bersama, peralatan perniagaan serta program latihan keusahawanan bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi dan pendapatan harian warga PPR,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini. – UTUSAN
The post RM50 juta untuk Program Komuniti Angkat Madani, fokus komuniti PPR appeared first on Utusan Malaysia.






