Tular di media sosial mengenai penjualan sebuah peranti yang dikenali sebagai ‘hydrogen inhaler’ atau mesin hidrogen dengan harga mencecah RM6,999 sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Peranti berkenaan didakwa dipromosikan sebagai produk berkaitan kesihatan, malah terdapat dakwaan bahawa golongan warga emas menjadi antara sasaran utama jualan.

Perkara tersebut turut mendapat perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tampil memberikan peringatan berhubung penjualan dan promosi peranti sedemikian.
Menurut KKM, sebarang peranti yang dikategorikan sebagai peranti perubatan dan dijual atau digunakan di Malaysia perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).
“Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil maklum isu yang diketengahkan mengenai aktiviti penjualan dan promosi alat/peranti yang digelar ‘hydrogen inhaler’ atau mesin hidrogen serta dakwaan berkaitan.
“KKM ingin menegaskan bahawa sebarang peranti perubatan yang dijual atau diguna di Malaysia mesti berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).”
KKM turut menegaskan bahawa penjualan, pengedaran atau pengiklanan peranti perubatan yang tidak berdaftar boleh menjadi satu kesalahan dan tindakan penguatkuasaan boleh diambil.
Dalam masa sama, orang ramai khususnya warga emas dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang menjanjikan kesan rawatan atau manfaat kesihatan yang belum dibuktikan secara saintifik.
Pengguna juga digalakkan menyemak terlebih dahulu status pendaftaran sesuatu peranti perubatan melalui laman sesawang rasmi MDA sebelum membuat sebarang pembelian.
Selain itu, KKM meminta masyarakat berwaspada terhadap taktik jualan yang menyasarkan golongan berusia, terutama sekiranya melibatkan tekanan, desakan atau rayuan emosi.
KKM turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan nasihat daripada pengamal perubatan berdaftar sekiranya mempunyai sebarang masalah kesihatan dan tidak bergantung semata-mata kepada dakwaan yang dibuat dalam promosi sesuatu produk.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

"Gangguan 'Cik Cong' Atau 'Water Hammer'?" - Penduduk Alor Setar Pula Diganggu Bunyi Misteri Ketukan Pintu Kuat Tengah Malam
The post “RM6,999 Untuk ‘Mesin Air Hidrogen’?” – KKM Beri Peringatan, Warga Emas Diminta Berhati-Hati first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






