
“SAYA terkejut membaca WhatsApp di telefon suami, dia mengaku sudah murtad. Hati saya hancur dan begitu juga masa depan rumah tangga kami.”
Demikian luah Ain (bukan nama sebenar) ketika menceritakan peristiwa pahit yang terjadi kepadanya kira-kira tiga tahun lalu hingga menghancurkan rumah tangga dibina selama sedekad itu.
Cerita wanita itu, suaminya seorang yang sangat baik, penyayang dan bertanggungjawab menjalankan tugasnya sebagai ketua keluarga, malah ibu bapa Ain juga dijaga oleh mereka.
“Saya berasa sangat bahagia sepanjang 10 tahun perkahwinan kami. Segala keperluan saya serta anak-anak dipenuhi dengan baik, malah boleh dikatakan kehidupan kami agak mewah.
“Saya suri rumah sepenuh masa, dan ia adalah permintaan suami yang mahu saya memberi fokus kepada keluarga dan tiga orang anak memandangkan dia sibuk menguruskan perniagaan.
“Kehidupan yang saya jalani ini menjadi idaman kawan-kawan yang lain kerana mereka melihat semuanya serba cukup.
“Jadi, saya dapat memberi perhatian penuh kepada keluarga dan anak-anak, sedangkan mereka perlu bekerja bagi menampung keperluan hidup,” ujar wanita berasal dari Kuala Lumpur itu.
Akui Ain, dia berasa sangat bersyukur dengan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT, tetapi tidak ada hidup yang sempurna kerana sebagai manusia kita tidak dapat elak daripada diuji.
“Dari luaran kehidupan kami seperti biasa, tetapi naluri seorang isteri dapat ‘menghidu’ ada yang tidak kena pada suami apabila dia sering balik lewat.
“Pada setiap hujung minggu pula ada sahaja mesyuarat yang perlu dihadirinya.
“Sampailah suatu hari, saya tergerak hati membaca WhatsApp perbualan suami dengan seorang rakan dan dia mengaku telah murtad,” luahnya.
Jelas Ain, suaminya bukan seorang yang terlalu jahil dalam bab agama, tetapi ibadah wajib seperti solat lima waktu, zakat dan puasa di bulan Ramadan ditunaikan dengan sempurna.
Namun, perubahan ketara berlaku apabila dia bertemu semula dengan sahabat lamanya ketika belajar di universiti suatu ketika dahulu.
“Suami ada cerita, dia bertemu semula dengan kawan lamanya ketika belajar di luar negara dulu.
“Sahabatnya itu juga sudah murtad, dan kebetulan dia sudah kembali menetap di Kuala lumpur hingga berjaya mempengaruhi suami.
“Pada awalnya, saya tidak syak apa-apa, sehinggalah saya tengok dia (suami) sudah mula tinggalkan solat dan banyak masa diluangkan bersama kawannya itu.
“Segalanya terjawab apabila saya melihat WhatsApp pengakuan murtad suami kepada kawannya yang turut menjalani hidup seperti orang Barat,” katanya.
Jelas Ain, dia ada pujuk suaminya untuk bertaubat dan kembali kepada agama Islam, namun tetap gagal.
“Lama juga saya bagi masa kepada suami untuk berubah, tetapi keadaan bertambah buruk dari masa ke masa.
“Boleh dikatakan, kami kerap bergaduh dan hubungan suami isteri menjadi semakin renggang sebab isu itu. Ada juga hari yang suami tidak balik ke rumah langsung.
“Rumah tangga yang dulunya bahagia dan harmoni hancur sekelip mata.
“Saya reda kerana Allah SWT sudah bagi kami kehidupan yang baik selama 10 tahun, dan kini saya perlu lepaskan semuanya.
“Akhirnya, kami sah bercerai talak satu di sebuah Mahkamah Syariah. Kini, saya menjalani hidup sebagai ibu tunggal bersama anak-anak,” katanya sebelum menutup bicara.
The post Rumah tangga hancur setelah suami mengaku murtad appeared first on Kosmo Online.





