Rybakina bangkit tewaskan Osaka, mara separuh akhir

12 Aug 2026 • 5:57 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rybakina bangkit tewaskan Osaka, mara separuh akhir

TORONTO: Jaguh tenis Kazakhstan, Elena Rybakina bangkit dari ketinggalan satu set untuk menewaskan juara Grand Slam empat kali, Naomi Osaka, 4-6, 7-6 (7-5), 6-4 sekali gus mara ke separuh akhir Terbuka Kanada, semalam.

Pemain No. 2 dunia itu mempamerkan ketahanan mental tinggi dalam pertarungan sengit selama dua jam 33 minit, selain melepaskan 13 ace untuk menundukkan Osaka dalam pertemuan pertama mereka di pentas jelajah WTA.

Rybakina bermula buruk apabila melakukan kesalahan berganda pada permainan pembukaan sehingga memberikan Osaka peluang melakukan break, sebelum pemain Jepun itu mengekalkan kelebihan untuk memenangi set pertama 6-4 dalam tempoh 42 minit.

Namun, juara Terbuka Australia itu bangkit pada set kedua apabila kedua-dua pemain saling mematahkan servis sebelum Rybakina menguasai tie-break 7-5 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Momentum itu diteruskan Rybakina pada set ketiga apabila dia melakukan break untuk mendahului 4-3 selepas Osaka gagal menyempurnakan peluang pada mata permainan, sebelum pemain Kazakhstan itu menamatkan perlawanan dengan ace pada servis kedua.

Lebih mengagumkan, Rybakina memenangi kesemua 18 mata melalui servis pertama pada set penentuan untuk memastikan tiket ke separuh akhir, sekali gus terus menghidupkan peluang memburu gelaran di Toronto.

“Sangat gembira. Ia perlawanan yang sangat sukar. Saya melakukan beberapa kesilapan pada set pertama dan bermula dengan buruk. 

“Tetapi saya gembira kerana dapat mengubah keadaan dan saya rasa servis banyak membantu,” kata Rybakina.

Menanti Rybakina ialah pilihan keempat, Coco Gauff yang mara tanpa perlu beraksi selepas Belinda Bencic menarik diri akibat kecederaan pinggul, manakala dalam satu lagi aksi separuh akhir, pilihan ketiga dari Poland, Iga Swiatek akan menentang pemain Ukraine, Elina Svitolina. – AGENSI/UTUSAN

The post Rybakina bangkit tewaskan Osaka, mara separuh akhir appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved