
Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya berhubung kemalangan di sebuah pencawang elektrik pada 2022.
Hakim Mahkamah Sesyen Zaini Fishir @ Fisal, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap syarikat berkenaan.
Mahkamah kemudian melepas dan membebaskan SE tanpa perlu dipanggil membela diri.
SE selaku majikan didakwa gagal memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pekerjanya ketika menjalankan tugas dengan tidak memastikan pematuhan terhadap sistem kerja selamat yang tidak mendatangkan risiko kepada kesihatan mereka.
Kesalahan itu didakwa berlaku kira-kira jam 11 pagi, 4 Ogos 2022 ketika kerja-kerja penamatan kabel dijalankan di dalam Feeder Pillar No. 2 di Pencawang Elektrik Kampung Sim-Sim, Sandakan yang mengakibatkan kemalangan membabitkan seorang pekerja lelaki.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 19 akta sama dengan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bermula di Mahkamah Sesyen Sandakan pada 23 April 2024 dengan pihak pendakwaan memanggil 10 saksi sepanjang prosiding.
Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Jinurah Sintian mengendalikan pendakwaan manakala SE diwakili peguam Datuk Rizwandean Bukhary M Borhan dan Elhanan James.






