
PETALING JAYA – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) membuat laporan polis berhubung penyalahgunaan nama ketua pengarah dan pegawainya bagi tujuan urusan perolehan kerajaan.
AKPS dalam kenyataan berkata, perkara itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan serta tindakan lanjut.
“Berdasarkan aduan diterima, terdapat syarikat yang telah menerima dokumen yang didakwa sebagai Surat Setuju Terima (SST) yang melibatkan sejumlah nilai perolehan bagi pembekalan antaranya jaket pelindung diri taktikal, genset dan alat tulis.
“Dokumen berkenaan dipercayai menggunakan tandatangan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dan pegawai beserta kepala surat yang palsu bagi menyakinkan pihak syarikat bahawa tawaran tersebut merupakan urusan rasmi,” katanya, hari ini.
Sehubungan itu, AKPS menegaskan bahawa segala urusan perolehan agensi itu dilaksanakan mengikut tatacara, prosedur dan peraturan perolehan Kerajaan yang sedang berkuat kuasa.
“Sekiranya terdapat mana-mana pihak menerima sebarang surat tawaran atau SST daripada agensi ini, adalah disarankan untuk membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang komitmen kewangan.
“AKPS memandang serius sebarang bentuk penyamaran, pemalsuan dokumen serta penyalahgunaan nama, identiti dan jawatan pegawai AKPS yang boleh menjejaskan reputasi agensi ini,” ujarnya.
Kenyataan itu menambah, orang awam juga dinasihatkan untuk lebih berhati-hati bagi mengelakkan terpedaya dengan penipuan seumpama ini. – KOSMO! ONLINE
The post Salah guna nama KP bagi perolehan kerajaan, AKPS lapor polis appeared first on Kosmo Digital.






