Penganalisis: Paramount berdepan cabaran capai unjuran jualan hartanah RM1.2 bilion pada FY26

Business & FinanceProperty
27 Aug 2026 • 12:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penganalisis: Paramount berdepan cabaran capai unjuran jualan hartanah RM1.2 bilion pada FY26 Image from: Penganalisis: Paramount berdepan cabaran capai unjuran jualan hartanah RM1.2 bilion pada FY26 amree27/08/2026 - 12:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 OgosParamount Corporation Berhad berdepan cabaran getir mencapai sasaran jualan hartanah RM1.2 bilion bagi FY26 berikutan permintaan pasaran semakin lemah, menurut penganalisis.

 

Mereka berpandangan, pembeli kini dilihat lebih berhati-hati walaupun kumpulan pemaju itu berjaya mencatat lonjakan keuntungan lebih dua kali ganda pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26).

 

Apex Securities berkata, ketidaktentuan geopolitik dan tekanan kos pembinaan menyebabkan kumpulan itu mengambil pendekatan berwaspada serta berasaskan permintaan realistik dalam menentukan masa.

 

"Ini termasuk kedudukan pelancaran projek baharu, meskipun Paramount masih menyasarkan pelancaran hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.6 bilion pada separuh kedua tahun ini," katanya.

 

Namun, firma penyelidikan itu percaya keterlihatan hasil kekal kukuh disokong jualan belum dibil sebanyak RM1.5 bilion, yang bersamaan kira-kira 1.7 kali perlindungan pendapatan jangka sederhana.

 

Selain itu ujar Apex Securities, tanah belum dibangunkan kumpulan seluas 222 hektar dan projek bernilai sekitar RM1.3 bilion yang masih tersedia untuk jualan dijangka menyokong pertumbuhan.

 

Menurutnya, keuntungan Paramount dijangka lebih tertumpu pada separuh kedua FY26, dengan pelancaran hartanah bernilai RM1.6 bilion menjadi pemacu utama pertumbuhan kumpulan dalam tempoh akan datang.

 

Paramount_DagangNews2026

 

"Justeru, kami mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) kepada RM1.51 daripada RM1.46, berdasarkan diskaun 55% kepada nilai aset bersih dinilai semula (RNAV) RM2.1 bilion," katanya.

 

Sementara itu, TA Securities berkata, keuntungan bersih bagi separuh pertama 2026 (1H26) naik 20% tahun ke tahun (YoY) kepada RM43.4 juta, walaupun pendapatannya susut 4% kepada RM429.2 juta.

 

Pertumbuhan ini disokong prestasi segmen hartanah Paramount, sumbangan sulung daripada syarikat bersekutu, Envictus serta kerugian yang semakin mengecil daripada segmen pelaburan dan lain-lain.

 

Katanya, pada 2QFY26, keuntungan bersih melonjak lebih dua kali ganda kepada RM29 juta, manakala hasil naik kepada RM277 juta dan keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak 127% kepada RM42.2 juta.

 

"Perkembangan ini disokong kemajuan kerja pembinaan serta jualan lot perindustrian di Bandar Lunas, Kedah, di samping jualan hartanah baharu turut bertambah kepada RM261 juta," jelas TA Securities.

 

Ia menjangkakan momentum bertambah baik pada 2H26 menerusi pelancaran projek seperti kediaman bertanah di Seksyen U9, Shah Alam dan projek bertingkat tinggi premium di U-Thant, Kuala Lumpur.

 

Sehubungan itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'beli' dengan TP RM1.25 sesaham, sambil mengekalkan unjuran pendapatan Paramount bagi FY26 hingga FY28. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved