johardy14/08/2026 - 16:08 Empangan Hidro Elektrik Bakun di utara Sarawak - Gambar hiasan Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Ogos - Kelebihan Sarawak dari segi bekalan tenaga serta aspirasi membangunkan Grid ASEAN dikenal pasti sebagai antara pemacu utama fasa pertumbuhan Malaysia seterusnya, khususnya dalam menyokong industri intensif tenaga dan permintaan pusat data yang semakin berkembang.
RHB Research dalam nota penyelidikannya berkata, Sarawak, Johor dan Koridor Utara mempunyai kekuatan yang saling melengkapi, seperti diketengahkan dalam forum utama RHB Progress Series 2026 yang menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri dan pelabur institusi.
“Sarawak menyumbang kepada pertumbuhan industri jangka panjang menerusi ketersediaan tenaga yang boleh dipercayai,” katanya.
RHB berkata, Sarawak melihat tenaga elektrik sebagai pemangkin utama pembangunan industri, dengan strategi tenaganya memberi tumpuan kepada Grid ASEAN dan kesalinghubungan tenaga rentas sempadan.
Menurutnya, kapasiti bekalan air dan tenaga elektrik akan menjadi semakin penting bagi menyokong pelaburan pusat data dan semikonduktor di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif InvestSarawak, Timothy Ong merupakan antara ahli panel dalam sesi forum mengenai koridor ekonomi bersama wakil Invest Johor, BMI dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
Johor, Koridor Utara tawar kekuatan tersendiri
Firma penyelidikan itu berkata, Johor memanfaatkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi memperkukuh integrasi dengan Singapura, manakala Koridor Utara membina kekuatan berasaskan ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor matang di Pulau Pinang untuk memperluas keupayaan ke Kedah, Perlis dan Perak.
Bagaimanapun, bekalan air, tenaga elektrik dan bakat kekal sebagai antara kekangan utama ketika momentum pelaburan semakin pesat.
RHB berkata, kekurangan jurutera dan pekerja berkemahiran berpotensi mengehadkan pengembangan industri semikonduktor serta pusat data ketika Malaysia bersaing dengan pasaran serantau untuk mendapatkan tenaga mahir.
Pada masa sama, pelabur semakin memilih ekosistem bersepadu berbanding lokasi secara individu, yang memerlukan tanah dan utiliti berskala, kesalinghubungan, bakat, rangkaian pembekal, dasar yang boleh diramal serta kesiapsiagaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Menurut RHBIB, tahap kesiapsiagaan pelaburan seharusnya diukur berdasarkan kepantasan sesuatu projek dapat memulakan operasi dan bukan semata-mata kelajuan memperoleh kelulusan.
Peningkatan pelaburan dalam pusat data, tenaga dan infrastruktur turut memerlukan pembiayaan yang besar, sekali gus membuka peluang kepada bank domestik serta penggunaan struktur pembiayaan inovatif.
Malaysia raih manfaat kepelbagaian rantaian bekalan
Dalam pada itu, RHBIB berkata, Malaysia berada pada kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada fragmentasi geopolitik dan usaha mempelbagaikan rantaian bekalan, disokong ekonomi yang pelbagai serta kedudukan geopolitik negara yang relatif neutral.
Amerika Syarikat, China dan Korea Selatan merupakan antara negara yang melabur dalam ekosistem semikonduktor Malaysia.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata, Malaysia memasuki fasa pertumbuhan seterusnya daripada kedudukan yang kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan global dan perubahan dinamik perdagangan.
Beliau berkata, ekonomi Malaysia berkembang 5.2% pada 2025 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melepasi RM2 trilion buat kali pertama.
Pelaburan diluluskan turut mencatat rekod RM426.7 bilion melibatkan kira-kira 8,000 projek yang dijangka mewujudkan lebih 240,000 peluang pekerjaan. - DagangNews.com






