Sarawak capai sasaran penyenaraian syarikat Bumiputera 2026 di Bursa Malaysia menerusi United Asiapac

LocalBusiness & Finance
14 Sep 2026 • 1:02 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sarawak capai sasaran penyenaraian syarikat Bumiputera 2026 di Bursa Malaysia menerusi United Asiapac Image from: Sarawak capai sasaran penyenaraian syarikat Bumiputera 2026 di Bursa Malaysia menerusi United Asiapac liza14/09/2026 - 13:02 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Sept – Sarawak mencapai sasaran penyenaraian bagi 2026 apabila United Asiapac Energy Berhad mula didagangkan di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini yang membuka laluan kepada lebih banyak syarikat tempatan untuk berkembang ke peringkat nasional dan serantau.

 

Pencapaian itu turut menjadi langkah awal kepada aspirasi Sarawak untuk melahirkan lebih banyak syarikat Bumiputera berskala besar menerusi Pelan Tindakan Ekonomi Bumiputera Sarawak 2035 (SBB2035).

 

Menerusi kerangka ‘3-7-20’, SBB2035 menyasarkan tiga syarikat Bumiputera tempatan disenaraikan di Bursa Malaysia, tujuh syarikat menjadi peneraju dalam sektor strategik serta 20% perusahaan mikro dinaik taraf menjadi syarikat sendirian berhad menjelang 2030.

 

Penyenaraian United Asiapac itu adalah antara pencapaian penting dalam usaha Sarawak memperluas penyertaan syarikat Bumiputera dalam pasaran modal, khususnya dalam sektor yang mempunyai nilai ekonomi tinggi.

 

Pada masa sama, kejayaan itu menunjukkan syarikat Bumiputera dari Sarawak mempunyai keupayaan untuk berkembang daripada perniagaan tempatan kepada syarikat yang mampu mengakses pasaran modal negara.

 

United Asiapac Jadi Contoh Syarikat Bernilai Tinggi

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Sri Mohd Shahar Abdullah berkata United Asiapac membuktikan syarikat Bumiputera mampu membina kepakaran khusus dan berkembang dalam sektor yang memerlukan keupayaan teknikal tinggi.

 

“Kejayaan syarikat itu turut menunjukkan pasaran modal boleh menjadi platform untuk syarikat Bumiputera meningkatkan skala perniagaan, daya saing dan meneroka peluang pertumbuhan yang lebih luas,” katanya ketika hadir di majlis penyenaraian itu hari ini.

 

United Asiapac mencipta sejarah sebagai pakar intervensi telaga pertama di Malaysia yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

ARTIKEL BERKAITAN: United Asiapac Energy tambah peralatan baharu, buru lebih banyak projek dengan penyenaraian di Pasaran ACE

 

Syarikat itu menyediakan perkhidmatan penyelesaian intervensi telaga kepada industri minyak dan gas, termasuk kerja mengambil peralatan yang tersangkut dalam telaga minyak (fishing), penutupan operasi telaga serta penggerudian laluan baharu daripada telaga sedia ada (sidetracking).

 

Dengan anggaran permodalan pasaran sekitar RM192.5 juta selepas penyenaraian, United Asiapac menjadi contoh penyertaan syarikat Bumiputera Sarawak dalam sektor bernilai tinggi.

 

Sasaran Tiga Syarikat Bumiputera Menjelang 2030

Mohd Shahar berkata, pencapaian United Asiapac juga diharap dapat menggalakkan lebih banyak syarikat dan usahawan Bumiputera Sarawak melihat pasaran modal sebagai salah satu platform untuk mengembangkan perniagaan.

 

Beliau turut memuji usaha Kerajaan Sarawak menerusi SBB2035 dalam meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam aktiviti ekonomi bernilai tinggi.

 

Menurutnya, matlamatnya bukan sekadar menambah bilangan syarikat Bumiputera yang disenaraikan, tetapi membangunkan kumpulan syarikat yang mempunyai asas perniagaan kukuh, tadbir urus baik, kepimpinan profesional serta mampu mencipta nilai secara mampan.

 

Di peringkat nasional, pencapaian United Asiapac turut selari dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), yang antara lain menyasarkan pembangunan 10 hingga 20 syarikat Bumiputera sebagai peneraju rantaian bekalan dengan nilai melebihi RM500 juta setiap satu.

 

Kerajaan melalui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) akan terus membantu syarikat Bumiputera berpotensi tinggi menerusi intervensi bersasar, pembiayaan, pelaburan dan pembangunan keupayaan bagi menyediakan lebih banyak syarikat ke arah pasaran modal.

 

Bagi Sarawak, penyenaraian United Asiapac memberikan satu pencapaian nyata terhadap sasaran SBB2035, di samping membuka ruang untuk lebih banyak syarikat Bumiputera negeri itu berkembang ke peringkat nasional dan serantau.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved