Sarawak terus kuasai kolam terjun

22 Aug 2026 • 9:05 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sarawak terus kuasai kolam terjun

SHAH ALAM: Sarawak terus menguasai kolam terjun Akuatik Selangor di Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 apabila menuai dua lagi pingat emas menerusi Elvis Priestly Clement dan gandingan Dayang Nursharzyra-Elisha Rania Abrar Raj, semalam.

Elvis terlebih dahulu muncul juara acara 10 meter (m) platform lelaki selepas mengumpul 397.30 mata, mengatasi rakan senegeri Jared Aiden Harold yang meraih perak dengan 396.20 mata, manakala wakil Sabah Muhammad Anilrian Normatrud Abdullah menduduki tempat ketiga dengan 340.65 mata.

Lebih dramatik, Elvis mengakui dia sudah terlalu letih dan menganggap peluangnya untuk memenangi emas semakin tipis sebelum terjunan terakhir mengubah kedudukan pada saat-saat akhir.

“Banyak kesilapan yang saya buat hari ini, tetapi benda itu masih boleh diubah pada masa depan, cuma terjun ini bukan berdasarkan kemahiran semata-mata kerana kadang-kadang ia bergantung kepada nasib dan mungkin rezeki saya hari ini dapat nombor satu.

“Saya menang kerana darjah kesukaran, kalau saya mempunyai darjah kesukaran yang sama dengan orang lain mungkin saya berada di tempat ketiga atau kedua, tetapi mungkin itu rezeki saya,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Kejayaan tersebut menjadi emas ketiga Elvis pada temasya kali ini selepas dia turut menjuarai acara terjun seirama 3m bersama Awang Sharzan Nazrin dan 10m seirama bersama Jared, sekali gus menjadikan kempen Sarawak semakin garang di kolam terjun.

Dalam acara wanita 3m seirama pula, Dayang-Elisha memastikan satu lagi emas buat Sarawak selepas mengumpul 221.01 mata, meninggalkan gandingan Wilayah Persekutuan di tempat kedua dengan 217.56 mata dan Selangor meraih gangsa menerusi 209.01 mata.

Elisha mengakui kejayaan itu bukan mudah memandangkan dia sebenarnya lebih terbiasa dengan acara 10 meter, namun tetap berjaya menyesuaikan diri untuk bergandingan dengan Dayang dalam acara papan anjal 3 meter.

“Saya rasa susah kerana papan anjal bukan acara saya dan latihan pun hanya buat secara ringkas untuk persediaan 10m, jadi memang tidak mudah untuk saya mengejar rentak dia, tetapi terima kasih kepada dia kerana memberi kerjasama dan merendahkan sedikit lompatan untuk pasangan ini.

“Saya harap dapat layak ke Olimpik, jadi kepada sesiapa yang melihat ini, doakan saya supaya saya boleh layak ke Olimpik,” katanya.

Elisha yang sudah lapan tahun bersama skuad kebangsaan turut menjadikan Sukan Asia 2026 pada September ini dan kelayakan ke Kejohanan Dunia di Budapest tahun depan sebagai antara langkah penting sebelum memburu impian beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Secara keseluruhan Sarawak sudah mengutip tujuh emas daripada 12 acara yang dipertanding yang mana pada hari terakhir acara hari ini menawarkan dua lagi acara.  – UTUSAN

The post Sarawak terus kuasai kolam terjun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved