
SHAH ALAM – Pasukan renang tuan rumah terus mempamerkan aksi cemerlang pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 selepas memecahkan rekod temasya dalam acara 4×200 meter (m) gaya bebas wanita.
Pada aksi final di Pusat Akuatik Selangor di sini, hari ini, kuartet yang dibarisi Yoong Jia Jia, Chong Yuan Yi, Shannon Tan dan Eliza Tan melakukan catatan masa 8 minit 36.12 saat (s) menewaskan Pulau Pinang (8:46.90s) dan Sarawak (8:49.80s).
Catatan masa dilakukan sekali gus mengatasi rekod lama 8:40.95s yang dilakukan Sarawak pada Sukma 2012 yang berlangung di Pahang menerusi perbezaan masa 4.68s.
Selangor nyata berada dalam kelas tersendiri pada acara akhir itu apabila berada 10.78s di depan pemenang pingat perak, Pulau Pinang yang melakukan catatan masa 8:46.90s manakala Sarawak meraih gangsa selepas mencatat 8:49.80s.
Lebih manis, Shannon turut menambah satu lagi koleksi pingat emas hari ini menerusi acara 100m kuak kupu-kupu wanita, sekali gus menyaksikan dia sudah memenangi tujuh pingat emas setakat ini.
Pasukan tuan rumah terus mengekalkan dominasi apabila turut memenangi acara 4x200m gaya bebas lelaki selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Pulau Pinang menerusi catatan masa 7:39.77s.
Pulau Pinang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dengan catatan 7:40.14s diikuti Wilayah Persekutuan yang meraih pingat gangsa selepas mencatat 7:57.55s.

Sementara itu, perenang Melaka yang baru berusia 14 tahun, Jodie Yip turut mencuri tumpuan apabila berjaya memenangi pingat emas acara 200m kuak dada wanita dengan catatan masa 2:37.59s.
Dia memastikan pingat emas menjadi miliknya selepas menewaskan Kimberly Rosanne (2:40.43s) dari Wilayah Persekutuan serta atlet tuan rumah, Khoo Sue Enn (2:41.06s).
“Saya berasa agak terkejut kerana pada pusingan ketiga, saya ada nampak pesaing (di depan) tetapi saya hanya fokus untuk melakukan pecutan. Jadi saya sangat gembira kerana lagu Melaka berkumandang hari ini.
“Berdasarkan beberapa acara sebelum ini, saya dapat rasakan prestasi saya semakin meningkat dan esok masih ada acara berganti-ganti,” kata Jodie ketika ditemui selepas tamat saingan. – KOSMO! ONLINE
The post Sukma 2026: Rekod temasya 4x200m gaya bebas wanita lebur appeared first on Kosmo Digital.






